Cinta Dorayaki Bab 20

ringDURRAH tercengang sambil memandang wajah abangnya. “Jangan main-mainlah, abang long. Tak lucu tau!”

“Abang long tak main-main. Najwan tu kawan baik abang long. Hati budi dia abang long dah kenal. Sejuk hati abang long kalau angah terima dia,” pujuk Dani.

“Abang long… tolonglah. Angah tak mahu fikir perkara ni lagi.” Sambil bercakap, matanya memandang ke arah lelaki yang sedang mengisi lauk ke dalam pinggan.

Najwan, kawan baik Dani semenjak di universiti itu tak kurang segak di mata para gadis. Tapi hati Durrah masih tertutup buat orang lain kecuali… si lanun durjana yang tak sepatutnya ada di situ. Darah panas terus menyimbah ke mukanya. Alamak!

Najwan menghampiri mereka dan Dani pula yang bangun memilih makanan. “Durrah tak makan?” tegur Najwan. Seulas senyuman terukir di bibirnya. Ikhlas.

“Saya dah pesan kuetiaw ladna.” Kulit wajah Durrah dah merah menyala. Bukan kerana malu kepada Najwan sebaliknya kulitnya terasa panas dengan renungan tajam Zharif. Bagaimana dia boleh ada di situ? Bukankah Zharif tak berapa menyukai masakan Melayu? Dia datang bersama Adele pula tu.
Dani pula hilang entah ke mana. Pilih makanan macam pilih baju raya. Dia mula tercari-cari.

“Cari Dani?” tanya Najwan. Dia dah mula menyuap nasi ke dalam mulut. “Dani kata dia ada hal. Dia balik ke pejabat dulu.”

Durrah hampir tersedak. Tatkala itu dia sedang menyedut teh O ais limau. Tak guna punya abang long! cemuh Durrah geram. Nampak sangat abangnya sengaja nak mengenakan dia dengan janji temu buta itu. Siaplah dia nanti Durrah kerjakan.

“Durrah mesti tak selesa Dani buat macam ni.” Najwan memulakan perbualan. “Saya dah larang. Tapi dia bertegas nak juga saya kenal Durrah.”

Durrah terus menyedut minumannya dengan rakus. Tubuhnya terasa panas. Panas kerana marah dan panas kerana takut. Takut? Adakah dia takut dengan Zharif? Untuk apa? Dahi Durrah berkerut. Dari ekor matanya, dia masih dapat melihat Zharif yang masih memandang ke arah mereka. Adele dah hilang entah ke mana.

Makanan yang dipesan oleh Durrah tiba. Perlahan-lahan dia makan kerana masih panas berasap. Makin lamalah dia akan berhadapan dengan Najwan yang dah mula berborak kosong dan Zharif yang terus merenung tajam ke arahnya.

Tak tentu arah juga Durrah dibuatnya apabila terpaksa melayan Najwan dan berpura-pura seronok kerana tak mahu menunjukkan cuak di hadapan Zharif. Kalau Durrah nampak cuak, tentu Zharif akan ingat dia takut dengan lelaki itu. Lagipun buat apa Durrah nak berasa cuak? Bukannya dia melakukan apa-apa kesalahan pun.

Eh ya ke? Memang tak lakukan apa-apa kesalahan tapi rasa serba salah, kan? Bila Zharif ajak berjumpa, dia tolak. Tapi bila ada lelaki lain ajak, dia terima. Eh… ini tak boleh dikira sebab Dani yang aturkan. Hati dan perasaannya terus berdebat mencari salah. Makin tak tentu arah dia dibuatnya. Makan rasa macam tak kenyang. Minum rasa macam tak puas.
WALAUPUN dah ditegah, Najwan berdegil mahu menghantar Durrah ke pejabat. Terpaksa juga Durrah mengalah.

“Boleh saya jumpa awak lagi?” Najwan keluar dari kereta. Suaranya agak kuat.

Durrah berpaling ke belakang. Tika itu juga kereta Zharif berhenti di hadapan kereta Najwan. Wajah Durrah terus pucat lesi.

“Boleh?” Najwan mengulang soalannya. Tika itu Zharif dah keluar dari kereta dan menyerahkan kunci kepada pembantunya. “Kalau awak sudi, esok saya nak ajak awak keluar makan lagi.” Najwan benar-benar serius.

Durrah pula dah kelu. Zharif berlalu di sisinya. Sedikit pun lelaki itu tak menjeling ke arahnya. Wajah Zharif serius. Nampak seperti sedang menahan marah. “Nanti saya fikirkan. Terima kasih sebab belanja saya tadi.” Durrah segera berlalu. Entah apa nasibnya di pejabat nanti? Dahlah masuk lewat. 2.30 petang baru pulang dari makan tengah hari. Usah bandingkan dirinya dengan Zharif. Dia bos. Boleh keluar masuk pejabat sesuka hati dia.

SEWAKTU Durrah menatap skrin, ikon LAN Chat dah bernyala. Berat hatinya nak membuka. Seperti yang diduga, Zharif yang menghantar mesej.

Zharif : DATANG SINI SEKARANG!
Durrah : I nak review modul. Petang ni nak present.
Zharif : You nak I datang dan tarik you ke sini?

Durrah degilkan hati. Tapi apabila Zharif dah terpacak di ambang pintu biliknya, kelam-kabut Durrah bangun dan mengatur langkah. Zharif menutup pintu biliknya dengan agak kuat. Durrah terdengar dia mengunci pintu bilik. Seram sejuk tubuhnya ketika itu. Kalau ada apa-apa yang tak baik berlaku antara mereka, siapakah yang nak dipersalahkan?

Perlahan-lahan Durrah berpaling memandang Zharif yang dah bersandar pada daun pintu yang tertutup rapat. Wajah lelaki yang serius itu dipandang seketika sebelum dia melarikan pandangan ke arah bidai yang menutupi tingkap.

“Ada apa Encik Zharif panggil I?” Soalan standard yang selalu Durrah tanyakan. Tapi nadanya tak keras macam biasa. Sebaliknya dah macam si Smurffete takut nak berdepan dengan si Azriel, kucing Gargamel yang ganas itu.

“I dah lama bersabar dengan you. Tak tahu sampai bila kesabaran I ni mampu bertahan.” Zharif mengetap giginya ketat-ketat sehingga kulit mukanya tegang.

Durrah berundur ke belakang hingga terlanggar meja. Dah tak ada tempat untuk lari bersembunyi kecuali di bawah meja. “I tak faham apa masalah you, Encik Zharif? Rasanya I tak pernah buat silap atau mengabaikan tugas.” Dia berpeluk tubuh. Berpura-pura selamba dan buat-buat tak bersalah.

“Jangan buat-buat tak faham. You faham maksud I, kan?” Zharif mengatur langkah perlahan menghampiri Durrah.

Durrah berundur tapi dia dah terkepung dengan meja. Degup jantungnya dah mula menjalani ujian kadar kelajuan. Semakin Zharif mendekati, semakin tinggi kelajuan yang dicatatkan. Zharif berhenti melangkah tak kurang sedepa dari Durrah. Dekat sangat.

Seingat Durrah, tak pernah mereka berada sebegini dekat kecuali semasa kaki Durrah terseliuh dulu, sewaktu di dalam kereta dan pagi tadi ketika insiden Dr Maria menjerit di dalam tandas. Tapi situasi dulu tak sama dengan sekarang. Dia memalingkan wajah ke sisi. “Walau apa pun yang you fikirkan, berhentilah. Tak ada guna. Semua ni tak ada kesudahannya.”

“I nak sudahkan semua ni. Tapi you yang tak mahu. Tak mahu langsung beri I peluang.”

“Dahlah, Encik Zharif. Kita tamatkan di sini. I tak mahu selamanya bermain perasaan sendiri. Melukakan hati I sendiri.”

“I tak pernah suruh you bermain dengan perasaan sendiri. Menyeksa diri sendiri dengan sesuatu yang tak pernah wujud. You hidup dalam bayangan you sendiri. Pernah tak you fikir yang selama ini you tak pernah tahu perkara sebenar tentang I.”

Durrah memberanikan diri memandang wajah Zharif. “I dah tau.” Tapi sejurus kemudian, dia kembali membuang pandang ke tempat lain.
“You tahu apa? Boleh beritahu I?” Sinis suara Zharif.

“You keturunan kucing Parsi. I keturunan kucing kampung. Kita tak layak bersama.”

Zharif tersenyum. Sinis. “I bukan kucing. Begitu juga dengan you. Kalau you fikir darjat, pangkat dan pengaruh boleh pisahkan I daripada you, you silap besar! Malah sesiapa yang fikir I akan lupakan you dan rancangan I, mereka memang bodoh!” Suara Zharif tinggi.

Kecut perut Durrah dibuatnya. Zharif marah pada siapa sebenarnya ni?

“I tahu you suruh Ginny intip pergerakan I. Sebab tu I sengaja umpan Ginny ke majlis tu. I nak you tahu siapa I, siapa keluarga I dan siapa kenalan-kenalan I. Tak pernah pun ada niat di hati I nak sembunyikan perkara tu daripada you. Dah banyak kali I minta nak jumpa you. Tapi you sengaja mengelak. You tak pernah beri I peluang nak jelaskan apa-apa.”

Dada Durrah terasa sesak. Sendi lututnya berasa lemah. Sebelum dia jatuh terduduk, lebih baik dia menarik kerusi dan duduk. Lagipun dengan cara itu, dia dapat menambahkan jarak di antara dia dengan Zharif. Dapat mengurangkan debar di dada.

“Kenapa you buat semua ni?” Perlahan suara Durrah. Dia hanya mahukan jawapan yang ikhlas daripada Zharif. Hanya satu pengakuan. Itu saja.
“Sebab… I cintakan you!” Zharif dah bertinggung di hadapannya, menjadikan kedudukan mata mereka bertentangan.

Buk! Aduh! Durrah mengusap dadanya. Ujian jantung dah sampai ke penamat. Kelajuannya perlahan-lahan normal sebelum menjadi stabil. Hebat sungguh Durrah. Bagai pakar jantung pula.

“Encik Zharif, kita baru berkenalan. Tak sampai setahun lagi. Bagaimana dalam waktu yang pantas…” Durrah ragu-ragu seketika sebelum menyambung, “perasaan yang sama boleh wujud?” Tak ada guna dia menyimpan perasaan itu lagi. Zharif dah mengaku. Mengapa tak dia? Mungkin dah tertulis buat mereka.

Zharif tersenyum. Dia menarik kerusi dan duduk di hadapan Durrah. “Seperti ada satu percikan bunga api yang indah setiap kali I menatap wajah you. Sikap you yang tak mementingkan diri sendiri, sanggup susah payah bergaduh dengan I semata-mata nak selamatkan hak orang lain. Semua tu buat I berfikir. Ada sesuatu mengenai you yang patut I perhatikan. I sendiri terkejut sebab terlalu cepat sukakan you. Dulu dengan bekas isteri I, tak pernah pun I rasa macam ni.”

Bekas isteri? Sah! Yakin! Dia masih bujang empat! Hahaha… Tak sesuai! Hati Durrah bercakap sesama sendiri. Sayang awak, sayang!

“Cik Dorayaki, you sudi kahwin dengan I?”

“You kahwinlah dengan kuih dorayaki tu. I tak kisah.” Selamba Durrah menjawab padahal ujian jantung dah kembali bermula.
Zharif tersenyum. “Cik Durratul Nawwarah, I nak ajak you nikah dengan I. Boleh?”

Kulit wajah Durrah dah memerah. Gila selamba dia melamar.

pizap.com13723216968721

Cinta Dorayaki Bab 4

pizap.com10.5852842642925681371600177290

Persembahan modul pertama kumpulan Durrah ditolak mentah-mentah oleh Datuk Singah dan panelnya Mr. Abraham yang Durrah gelar Hobbit Hitam.

Terpaksalah Durrah dan anggota kumpulan barunya berhempas pulas memikirkan cara memudahkan penjelasan mengenai kedua-dua topik itu.

Dengan masa yang sedikit, tekanan yang semakin menghimpit, masing-masing seakan-akan ingin meletup marah. Hubungan mereka yang sebelum ini tak kenal maka tak cinta, sekarang semakin bercinta-cinta sehingga rindu dendam yang mencetuskan gaduh-gaduh sayang.

“Boleh siap petang ni tak?” Mr. Abraham si pengkritik bebas menyoal tegas.

Terkebil-kebil mata Durrah memandang lelaki pendek berkulit gelap dan bertubuh gempal itu.

“I tanya you ni? Janganlah buat muka tak faham!” herdik Mr. Abraham kemudian.

“I dah hantar pada GD hari Isnin lepas. Tapi tak boleh janji bila boleh siap sebab ada banyak pembetulan kena buat.” Durrah cuba menyabarkan diri. Rasa hendak ditelannya hidup-hidup lelaki sepupu Hobbit itu.

“Boleh siap petang ni tak?” Suara Mr. Abraham  semakin keras.

‘Aik? Deja vu ke apa ni? Ulang soalan yang sama pula.’ “Kami sedang berusaha nak siapkan. Bukannya kami tak mahu buat. Dan bukannya kami ni kerja main-main sesuka hati!” Tanpa sedar, nada suara Durrah turut berubah sedikit tinggi daripada tadi.

“Eh… cakap sopan sikit, boleh tak? Jangan kurang ajar tau!” tempik Mr. Abraham tiba-tiba. Ruang pejabat yang tadi agak bising, senyap tiba-tiba. Masing-masing memusatkan pandangan ke arah Mr. Abraham dan Durrah.

Mr. Akshay yang lalu tiba-tiba, terus melencongkan laluan ke lorong lain. Beberapa orang staf lain yang sedang berbincang, terus memandang ke arah Mr. Abraham yang sedang memarahi Durrah  tanpa belas kasihan.

“Okey… saya minta maaf!” Durrah mengangkat tangan seolah-olah pencuri selipar yang berjaya dicekup AJK Masjid. “Maaf… okey!” Lafaz maaf hanya di mulut. Di dalam hati, Durrah menyumpah dalam pelbagai bahasa.

“Lain kali cakaplah baik-baik. Jangan kurang ajar!” Mr. Abraham terus berlalu.

Durrah terduduk di atas kerusinya. Dia termenung memandang skrin. Rasa marah dan geram berbuku-buku di dada.

“Hei… jom pergi makan. Dah pukul satu ni.” Ginny menyentuh bahunya.

“Okeylah.” Air mata sudah bergenang di tubir mata Durrah. Namun, dia cuba menahannya.

Sesampai di restoran yang biasa dikunjungi mereka, Ginny menolak pintu bilik makan privasi yang selalu diduduki oleh mereka.

Durrah sudah tidak dapat menahan perasaannya. Dia mula menangis dan mengongoi macam budak kecil. “I benci dia! Minta-minta ada lori sampah lalu, langgar dia sampai mati!” Tersedu-sedu Durrah  menangis.

“Hei… sabarlah. I tak pernah tengok you macam ni.” Ginny menggosok-gosok bahu Durrah.

“I benci semua ni!” Durrah rasa seperti mahu menjerit, melepaskan sebak dan sesak di dada.

“I dengar si pendek tu marah you tadi,” kata Ginny. “Suka hati dia aje nak marah you. Datang pun tak bagi salam, terus nak bagi arahan itu ini kat kita. Entah siapalah dia tu?” Ginny meluahkan rasa tak puas hati yang berbuku di dadanya.

“Dia yang kurang ajar, kata I pula!” kata Durrah, kecewa. Sedunya masih bersisa.

“Makan dulu. You nak pesan apa?” Ginny mencelah apabila pelayan masuk ke bilik kecil itu.

“I tak nak makan.” Durrah  menggeleng. “Bagi teh O ais limau aje.” Tangannya mencapai tisu di atas meja. Sisa-sisa air mata di wajah dikeringkan.

“Betul ke ni? Nanti sakit perut pula ni.”

“Tak apa.” Durrah  menggeleng. Sehelai tisu keras dan kesat ditarik lagi. Air matanya macam paip bocor pula.

“Err… you punya muka…” Tiba-tiba Ginny menunding cuak kepada Durrah. Matanya bulat di sebalik kaca mata jernih yang bertenggek di atas batang hidungnya yang pesek. “Kenapa jadi begini?” Suaranya agak nyaring, terkejut. Kedudukan kaca matanya dibetulkan.

“Muka I macam pau terlebih kukus, kan?” Durrah  menekup wajahnya dengan kedua-dua belah tapak tangan. Inilah akibatnya kalau menangis tak ingat dunia dan tak tanggal kanta lekap. Bukan saja kulit di sekeliling matanya membengkak macam karipap, tapi alerginya juga akan muncul menjadikan wajahnya sembab macam pau terlebih kukus. Gebu semacam.

“I nak pergi klinik. Ambil MC. Tak boleh nak tunjuk muka tak cun ni depan semua orang terutama sekali pada Mr. Abraham yang jahat tu.” Durrah terus bangun.

“Pergilah. Tak payah masuk pejabat. Nanti I beritahu Mr. Akshay,” suruh Ginny. Ceh, macam dia pula yang jadi HR.

Dalam perjalanan menuju ke klinik yang terletak di bangunan sebelah pejabatnya, Durrah menelefon Azri. “Tolong jap. Hantar beg tangan aku kat klinik sebelah. Aku nak ambil MC hari ni.”

“Okey… lima minit,” balas Azri  tanpa banyak soal.

Terkejut jururawat klinik melihat wajah Durrah  yang bengkak. “Kenapa ni?”

“Alergi,” Dia membalas sepatah sambil mengisi borang panel. Selepas mengisi borang, dia berpaling.

Debuk!

Aduh! Durrah mengusap kepalanya yang terlanggar sesuatu yang keras. Dengan muka yang bengkak, dia mendongak. Lelaki di hadapannya sedang mengusap dagu yang sakit. Dah pasti hasil pelanggaran tadi.

Wajah lelaki yang berkerut menahan kesakitan itu berubah sebaik saja terlihat wajah si gadis yang sembab dengan matanya yang bengkak.

“Muka you…”

“Alergi!” balas Durrah dengan kasar dan terus berlalu pergi tanpa meminta maaf. Lagipun dia sendiri tak tahu siapa yang salah sebenarnya. Salah diakah atau salah lelaki itu berdiri di belakangnya terlalu rapat?

Durrah duduk di sofa yang paling hujung sambil menundukkan kepala. Tisu keras dan kesat tadi tercicir entah di mana. Lantas dia menarik tudung untuk menyembunyikan sebahagian wajahnya. Dah macam Zorro pula. Dia langsung tak mengangkat kepala ke arah lelaki yang berdiri di kaunter pendaftaran tadi. Lantaklah.

“Hoi… kenapa dah macam penyamun tarbus ni?” Hujung kasut Durrah disepak.

Durrah mendongak.

“Oit… kenapa ni?” Bulat mata si kurus tinggi itu merenung Durrah. Perlahan-lahan dia duduk di sisi Durrah  sambil menghulurkan beg tangan berwarna ungu.

“Inilah padahnya menangis tak ingat dunia dengan memakai kanta lekap.” Durrah memperlahankan suaranya. Takut didengari jururawat klinik. Nanti tak dapat MC!

“Macam tu pulak?” kata Azri tak percaya.

“Aku rasa kot. Sebab dulu aku pernah gak menangis tak buka kanta lekap. Hasilnya macam nilah. Tapi taklah seteruk ni. Yang bengkak-bengkak kat muka tu memang alergi. Entah habuk dan debu mana hinggap kat muka aku. Tangan aku pun dah gatal-gatal.” Itulah hakikatnya. Kulit si Durrah  memang sensitif. Pantang terkena habuk dan debu, pasti gatal-gatal seluruh tubuhnya.

“Okeylah… aku nak balik ofis dulu. Jadi kau MC lah ni?”

“Ya… beritahu Mr. Akshay, aku alergi dan migrain.” Pandai-pandai saja. Belum diberi MC, Durrah dah pandai-pandai cakap MC.

Tapi dia memang dapat MC sebab doktor pun terkejut melihat wajahnya yang bengkak begitu. Dapat MC dua hari pula. Dengan riang dia memandu pulang ke rumah. Empat hari rehat termasuk Sabtu dan Ahad, pasti boleh menenangkan jiwanya yang kacau-bilau. Siaplah kau Hobbit Hitam. Isnin ni aku balas dendam, azam Durrah dengan penuh iltizam.

“MC dua hari, tambah Sabtu Ahad. Empat hari cuti. Wah, seronoknya!” Timah pula teruja apabila mendengar cerita daripada Durrah malam itu sewaktu mereka makan di gerai Cik Mah Tomyam.

“Tapi muka kau dah tak bengkak lagi. Esok boleh kerjalah, kan?” Sebaliknya Jenab macam tak bersetuju dengan tindakan Durrah.

“Malaslah aku. Tengah huru-hara kat opis tu. Tiba-tiba pula Hobbit Hitam tu bikin kecoh. Nak tengok presentation semua sekali. Sawan ke apa?”

“Siapa Hobbit Hitam tu? Bos baru kau ke?” Timah mengunyah timun yang dicicah dengan sambal belacan. Nampak enak sekali.

“Entah. Ada yang kata dia pemandu Datuk. Ada yang kata pengawal peribadi. Entah siapa-siapa. Masuk pun tak bagi salam. Tau-tau aje nak arahkan orang buat itu ini. Macam dia pula bos. Padahal Mr. Akshay tu ada lagi.”

“Macam-macamlah kau ni, Durrah. Entah-entah kami pun ada nama gelaran yang kau cipta.”

Durrah  memandang Jenab  sambil tersengih penuh muslihat. “Memang pun. Tapi hanya aku yang tahu…huhuhu.”

“Menyampah!” tempelak Jenab tak puas hati.

pizap.com13723216968721

Cinta Dorayaki Bab 1

CD 3D-1“Kak Haniz!” panggil Durrah sambil mengetuk dinding kaca sebaik sahaja ternampak kelibat Haniz, Editor Bahasa Melayu Projek MySkool.

Haniz yang baru keluar dari bilik unit pengurusan kewangan menoleh ke belakang, memandang ke arah Durrah yang terlompat-lompat sambil menunjukkan sekeping kertas. Dia membetulkan bingkai cermin matanya yang bertenggek di atas hidung. Matanya dicerunkan ke arah Durrah.

“Kak! Penatlah saya terlompat-lompat panggil akak!” Akhirnya Durrah menjengah dari pintu bilik unit HR.

“Akak nampak. Ingatkan monyet Belanda mana tadi terkinja-kinja ketuk dinding kaca,” gurau Haniz selamba.

Durrah dah mencebik. “Akak!” Suaranya tinggi, tapi bernada gurauan.

Haniz dah tersengih. “Kenapa kau panggil akak? Akak tak boleh lama-lama kat bawah ni. Nanti Mr. Akshay cari.” Dahinya berlapis memandang Durrah yang masih berdiri di pintu.

“Saya baru baca surat akak ni.” Durrah menunjukkan kertas di tangannya. “Akak nak cuti tanpa gaji buat Master ek? Nanti siapa ganti tempat akak?”

Haniz sengaja mengerutkan dahinya sekali lagi. Kali ini dia berpura-pura berfikir. Matanya dipandangkan ke atas, ke arah siling. “Akak dah rekomen calon tu kat Datuk. Tunggu ajelah keputusannya. Okeylah… akak naik dulu.” Haniz meninggalkan Durrah yang terlopong.

Durrah segera mengatup mulutnya kembali dan terus menuju ke pejabat Datuk Singah di tingkat atas. Tika dia tiba, Lida, PA datuk, sedang berbual di telefon dengan gaya gedik terlebih muatan.

“Lida!” panggil Durrah sambil menggendang meja Lida dengan buku limanya.
“Ya? Nak apa?” tanya Lida dengan gaya masih lagi menggedik.

Tak faham bahasa betul budak ni, rungut Durrah bengang. Masa kerja pun nak bercinta sakan di telefon. Guna harta benda syarikat pula tu. Ingat Datuk Singah tu ayah angkat dia ke?

“Datuk ada suruh keluarkan memo pasal pengganti Kak Haniz, tak?” Durrah mengeraskan suaranya.

Lida menggeleng. Tanpa berkata apa-apa, dia menyambung semula perbualannya yang terganggu.

“Maaflah, abe. Ada kerja sikit tadi. Hmm… tengah hari ni nak lunch kat mana?”

Kembang telinga Durrah mendengar nada manja terlebih santan kelapa lemak manis yang sengaja dibuat oleh Lida.

“Wei!” Durrah mencuit bahu Lida. “Kalau nak bermesra dengan suami kau pun, janganlah terover dos kat opis ni!”

“Bukan suami kitalah!” Selamba Lida membalas dan sempat lagi dia menjeling Durrah.

Mata Durrah dah bulat memandang Lida. Okey… patutlah mereka gelar dia Lida Biawak Terbang. Sekarang baru dia tahu… merendah terbang biawak. Satu ungkapan yang bermaksud perempuan yang memperlihatkan dirinya kepada lelaki. Sengaja nak menonjolkan dirinya.

Walaupun dah bersuami dan beranak satu, Lida memang suka mempamerkan kecantikannya untuk tatapan ramai dan selalu berlagak bujang. Memang sesuailah kau dengan gelaran tu, cemuh Durrah lalu berlalu pergi.

“SELAMAT tengah hari, kaka!” Babjan dah tersengih-sengih memandang Durrah yang baru keluar dari lif.

“Kaka… Kaka… kakaklah! Kaka tu pemain penyerang tengah pasukan bola sepak Brazil!” Nada suara Durrah dah tinggi.

“Ala kaka… jangan la mara.” Babjan masih lagi tersengih-sengih gatal walaupun Durrah nyata memarahinya. “Mau makan ka, kaka? Mana pigi? Babjan kasi teman juga.”

Durrah dah mengetap gigi. Tak faham bahasa betul di Babjan ni. “Sana… Little Taiwan. Mau belanja ka?” Dia sengaja mencabar.

Babjan terus angkat kedua-dua belah tangan tanda mengalah. “Tak apa la kaka. Mahal.” Sambil tersengih-sengih, pengawal keselamatan beruniform biru laut itu berlalu meninggalkan Durrah.

Durrah menarik nafas lega. Seharian tak diganggu oleh Babjan, memang tak sah. Loya tekaknya mendengar Babjan cuba mengayatnya.

Sebuah kereta Proton Waja berhenti di hadapan Durrah yang sejak tadi menanti di lobi bangunan. Terus saja Durrah menyerbu masuk ke dalam kereta berwarna perak itu. “Wah… lambat kau sampai?” tegurnya sebaik saja dia mengenakan tali pinggang keselamatan.

“Wei wadon… ini pun dah cukup bagus aku baik hati jemput kau makan tengah hari. Kalau ikutkan jadual aku yang padat, tak hingin aku membuang masa meredah jammed semata-mata nak temankan kau!” Jenab dah menyembur.

Durrah tersenyum. “Maaflah, Jen. Mood aku tak baik sebab kena ganggu Si Keladi Tua tu tadi.”

“Mananya tak kena kacau? Kau selalu keluar makan sorang-sorang macam orang tak ada kawan. Weh, wadon! Kau ni kenapa? Dah dekat sebulan kau kat sini, takkan tak ada kawan lagi? Macam budak tadikalah!” bebel Jenab.

“Entahlah… aku ni spesies ikan paus baleen yang suka bersendirian tu kot.” Durrah tayang muka cekodok basi yang bagaikan minta simpati.

“Nak samakan diri macam ikan paus konon! Udah-udahlah simpati kat diri sendiri. Kau yang malas nak cari kawan baru,” tempelak Jenab. Semenjak sebulan yang lalu, dialah yang selalu jadi supir menjemput Durrah keluar makan tengah hari. Jika mereka tak keluar, mereka akan makan tengah hari di sekitar kawasan pejabat baru Durrah.

“Macam manalah aku nak buat kawan baru?” Durrah melepaskan nafas pendek. “Kat dalam unit aku cuma kami bertiga. Aku, Shabira Mami Monster dan Encik Rahman. Shabira dah ada geng dia sendiri. Staf unit lain aku tak berapa nak kenal sebab semua dah ada geng masing-masing.”

“Eh… hari tu kau cakap ada satu departmen yang stafnya terlebih ramai. Dekat 60 orang. Tu dah cukup ramai nak buat kawan.”

“Itulah… aku baru nak berbaik-baiklah dengan dorang tu. Adalah dua tiga orang macam Kak Haniz Novelis. Tapi belum sampai nak ikut mereka lunchlah.”

“Novelis?” Jenab menoleh seketika ke arah Durrah. “Dia novelis ke?”

“Ha’ah…” Durrah dah tersenyum. “Tapi aku sorang aje yang tau. Itu pun sebab aku ni terlalu cekap buat kerja sampai tak ada kerja, sanggup baca CV staf satu per satu. Kagum aku ngan Kak Haniz tu. Dalam sibuk-sibuk dia membesarkan keluarga, sempat lagi sambung belajar dan terbitkan 14 buah novel pelbagai genre.”

“Rak buku kau yang kat bilik tu aku nampak macam dah bersawang aje.”

“Itulah. Sejak dah kerja ni… sibuklah. Tak sempat nak membaca.” Durrah melepaskan pandangan ke sisi tingkap. “Eh? Kita nak ke mana ni Jenab oi? Macam jalan nak balik rumah aje ni?”

“Apalah wei!” Jenab menepuk dahinya. “Apa hal aku balik rumah ni?” Dia menampar stereng kereta berkali-kali. “Itulah kau… berborak tak hengat dunia.” Dia mencari pusingan U.

“Aku pula yang dipersalahkan. Sapa yang pegang stereng sekarang ni?” Durrah pun ikut sama memanjangkan leher membantu Jenab mencari pusingan U. Masa setengah jam dah berlalu semenjak mereka meninggalkan Belukar South City. Makan angin atas jalan rayalah nampaknya mereka berdua.

pizap.com13723216968721

Cinta Dorayaki (Julai 2013)

292558_613822765297262_33790398_nMenghasilkan Cinta Si Dorayaki (tajuk asal) sebetulnya satu percubaan untuk memuatkannya dalam novel antologi Alaf21. Saya menggarapnya ketika dalam kesibukan mengejar dateline untuk Tolong Pikat Hatinya (Disember 2012). Konon-kononnya hendak menyahut cabaran penerbit untuk menyumbangkan sesuatu dalam novel antologi. Tetapi kemudian, saya berubah fikiran dan kebetulan ketua editor menyarankan supaya novel pendek itu dipanjangkan. Dengan penuh rasa teruja, saya pun mula memanjangkan Cinta Dorayaki supaya menjadi sebuah manuskrip novel yang panjangnya lebih  daripada dua buah novel saya bersama Alaf21.

Dan Cinta Dorayaki mengambil masa yang pendek, tidak sampai satu tahun, untuk disiapkan. Ini satu pencapaian buat diri saya sendiri kerana boleh dikatakan Cinta Dorayaki ialah idea impromtu, yang muncul di kepala tiba-tiba, tidak terancang. Selalunya, saya menulis berdasarkan idea-idea yang telah saya zahirkan dan dibiarkan terpendam sehingga tiba masanya untuk dipanjangkan menjadi sebuah novel. Dan untuk makluman, sekarang saya sedang menulis Sahabat (tajuk sementara) yang sudah pun bermula penulisannya pada tahun 2008. Kini saya menyambungnya kembali untuk terbitan 2014, insya-Allah.

Berbalik kepada persoalan asal, sebenarnya kisah dalam Cinta Dorayaki ini lebih panjang, tetapi terpaksa dipendekkan atas saranan editor. Akan saya paparkan babak-babak yang dikeluarkan daripada Cinta Dorayaki dalam grup saya Melarik Enigma. Sesiapa yang ingin membacanya, silalah ke sana.

Cinta Dorayaki saya tujukan buat rakan-rakan seperjuangan yang pernah berhempas pulas bersama saya suatu ketika dahulu, di suatu tempat. Sebahagian kenangan yang berlaku, saya zahirkan dalam novel ini dan diolah serta ditambah dengan daya imaginasi saya sendiri. Namun watak-watak dalam novel ini tiada kaitan dengan sesiapa, hidup ataupun mati. Ia sekadar lontaran imaginasi saya yang tidak terbendung, meronta-ronta minta dilepaskan supaya dapat dikongsi bersama.

Sudi-sudikanlah menatap buah tangan ketiga saya bersama Alaf21 yang akan berada di pasaran pada Julai 2013.

CSD di tangan editor

579384_582040915142114_378362363_nAkhirnya, setelah berhempas pulas selama tiga minggu tanpa henti, CSD berjaya juga ditulis sehingga ke penamat. Sebelum ini, saya pernah menghantar versi pendek dalam 150 halaman untuk projek novel pendek kepada penerbit yang sama. Tapi editor menyarankan supaya saya memanjangkan CSD menjadi sebuah novel. Maka, saya menyahut cabaran itu.

Mulanya CSD sekadar ditulis bagi menyahut peluang yang diberikan. Tulis pun sekadar suka-suka. Tapi apabila diminta memanjangkan manuskrip ini, pening juga kepala saya memburu idea. Beberapa kali juga saya sunting, buang dan tambah. Mulanya plot dan konflik di rancang begini, tapi akhirnya jadi begitu.

Disebabkan terlalu obses hendak menyiapkan CSD, saya jadi terlalu attached dengan watak-watak utama. Hingga berasakan amat susah hendak meletakkan perkataan TAMAT. Sepatutnya ia habis setakat itu, tapi saya sambung setakat ini. Memang payah benar hendak berpisah dengan ‘rakan bayangan’ yang kini dah bersemadi di dalam manuskrip itu.

Kali terakhir saya rasa obses begini ialah semasa menulis Kasih Pun Bersatu. Tika itu saya amat payah hendak melupakan  Zarul. Dia bagaikan berada di mana-mana saja saya menoleh. Perkara yang sama juga berlaku dengan watak hero dalam CSD. Dan kalau sebelum ni hero dan heroin saya hanya berdasarkan watak fiksyen dan imaginasi saya semata-mata, hero CSD adalah bersandarkan kepada watak manusia yang bernyawa. Yup…hero itu wujud. 50% daripada sikap watak itu saya salin dan terjemah menjadi watak hero dalam CSD. Lagilah kesannya terasa, kan?

Saya dah tak sabar hendak menunggu produk akhir CSD 😀