Vampira: Hidupkan Cintaku

cover vampira-3
“Lyra…Live my life, live my love.”

“Tidak! Kyra…tidak!”
“Mati itu pasti, Lyra….”
“Kyra!!!”

Episod 1: Sukijanai (Tidak suka)
PEDANG Larimar memijarkan cahaya biru. Sepantas kilat ia dihayun membelah tubuh Strigoi putus menjadi dua. Mayat yang putus itu hangus terbakar. Larissa mendabik Larimar sebelum disarungkan ke pinggang. Dia memandang ke sekeliling. 20 Strigoi yang menjadi mangsanya malam itu sudah bertukar menjadi abu.
Satu lembaga hitam melompat dari atas rumah usang sebelum mendarat di hadapan Larissa. Serentak dengan itu, dua Strigoi rebah di belakang Larissa.

“Kau semakin lalai, Larissa!”

Larissa terpinga. Dia memang langsung tidak menduga, masih ada lagi Strigoi yang belum menjadi mangsa Larimarnya.

“Sampai bila aku harus tanggung kecuaian kau?” herdik Zarique. Mata pedangnya di hala ke tanah. Darah hitam Strigoi yang baru menjadi mangsanya menitik ke tanah.
Larissa mengetap gigi. Tidak puas hati. Dia sudah tidak tahan dengan sikap Zarique yang selalu mengecilkan dirinya. Kalau pun dia lalai, tak perlukah hendak memalukan dia di hadapan orang lain.

Perlahan-lahan Larimar disarung. Larissa melangkah gontai melintasi sekumpulan Vrykolakas yang baru bermati-matian menentang segerombolan Strigoi. Tidak seorang pun daripada mereka yang berani menegur. Keadaan yang tadinya tegang dek pertempuran, kini tegang pula dengan persengketaan antara Zarique dan Larissa.

“Larissa!”

Langkah Larissa mati. Namun hanya seketika. Langkahnya yang gontai diatur laju dan nampak seperti dia sedang berjalan di atas angin. Tetapi dalam sekelip mata, langkahnya berjaya disaingi oleh Zarique.

“Kau bertindak sesuka hati. Jelaskan apa yang kau cuba buat tadi?” herdik lelaki itu, tidak puas hati. Tadi, Larissa telah bertindak sendiri. Tanpa menunggu isyarat, dia menyerang segerombolan Strigoi di sarangnya. Tindakan bodohnya itu menyebabkan hampir separuh askar Vrykolakas mati sia-sia.

“Aku nampak peluang dan peluang itu tak patut disia-siakan.” Mudah jawapan Larissa tanpa mahu memperlahankan langkahnya.

“Kau terlalu gopoh! Akibatnya bukan saja kita kehilangan ramai Vrykolakas. Kita juga dah hilang peluang bunuh ketua mereka.” Zarique benar-benar marah. Sudah lama mereka menjejaki kumpulan Strigoi ini yang begitu licik menyeberangi Sungai Masa untuk ke dunia Gaia dan membawa lari manusia sebagai korban. Kini peluang untuk menjejaki ketua mereka semakin tipis. Sudah tentu mereka akan lebih berhati-hati kerana tahu jejak dan kewujudan kumpulan mereka sudah diketahui.

“Hukumlah aku kalau kau tahu aku bersalah.” Larissa memberikan renungan mencabar. Apabila Zarique diam tidak menjawab, dia terus menguja ke udara memijak dahan pokok dan melompat dari satu dahan ke satu dahan. Menghilangkan diri dalam sekejap masa. Larissa tersenyum puas. Zarique tidak akan berani menghukumnya. Dia tidak akan tergamak langsung hendak mencederakan Larissa. Atas sebab itu, Larissa berani bertindak sesuka hati.

Zarique berdengus kasar. Larissa tahu akan kelemahan dirinya. Nyata sekali gadis itu menggunakan kelemahan itu dengan begitu baik. Larissa, kau tak akan terlepas lagi! Kulit wajahnya menjadi tegang menahan amarah yang meluap-luap. Selalu saja gadis itu mencabar kesabarannya dengan bertindak membuta tuli. Adakah dia terlalu idamkan kematian?

CAHAYA bulan amat terang; begitu menerangi bumi Tourmaline. Seperti siang. Larissa rindukan keindahan matahari yang bersinar menerangi bumi Gaia.

“Satu lagi misi yang mudah, bukan?” Miquel tersenyum mempamerkan barisan gigi yang putih. Lambat-lambat Larissa membalas senyuman itu. Hanya Miquel saja yang suka melayan tindakan berani matinya tadi.

Miquel memandang ke arah Larissa yang asyik merenung bulan. “Kau masih merindui Gaia?”

Larissa memejamkan mata, seketika. “As always. Aku tak akan lupakan Gaia dan mataharinya.” Dia mengorak langkah meninggalkan medan tempur yang baru sejuk. Selepas berlawan cakap dengan Zarique tadi, Larissa menghilangkan diri seketika sebelum kembali ke situ. Dia mahu mencari petunjuk. Mungkin dia boleh kesan ke mana Strigoi yang terselamat menyembunyikan diri.

Miquel menyusuri langkahnya. “Hmm..pertempuran tadi membuatkan aku lapar. Ayuh, kita tengok siapa sampai dulu ke ladang delima!” Sekelip mata Miquel menghilang, menjadi bayang hitam yang begitu tangkas memijak udara meninggalkan Larissa terpinga.

“Tak adil. Main tipu!” Langkah Miquel yang tidak berjejak segera diberkas.

Seminit kemudian, Larissa temui Miquel sedang bersenang lenang menikmati jus delima. “Kau lambat, sayangku.” Sebiji delima dilemparkan kepada Larissa.
Tangkas Larissa menyambutnya. “Kau main tipu.” Dia duduk di sisi Miquel sambil bersandar pada batang pokok delima yang besar.

Larissa merenung delima merah di tangannya. Bentuknya besar sedikit daripada epal. Delima di Tourmaline tidak sama dengan delima di Gaia. Delima Tourmaline ialah punca tenaga utama vampira. Tanaman itu tumbuh subur melata di bumi Tourmaline, dijaga dan diusahakan oleh Darvulia, keturunan vampira yang gigih.

Senyuman sinis terukir di bibir Larissa. Vampira, makhluk vegetarian yang hidup memakan delima.

“Apa yang buat kau tersenyum macam tu?” tegur Miquel. Nyata sikap Larissa malam itu sungguh berlainan.

“Siapa sangka vampira ialah vegetarian yang hidup meminum jus delima.” Ia satu sindiran kerana di Gaia, vampira hidup dengan meminum darah manusia.

“Sebab itu Lamia tak benarkan kita menyeberangi sempadan Tourmaline. Jika kita melangkah keluar dari Tourmaline, hidup kita dicela dan dihina.” Miquel mengingatkan.
“Seperti Strigoi.” Larissa terkenang akan dirinya. Jika tidak kerana Zarique menyelamatkannya, sudah tentu dia hidup sebagai seorang Strigoi, dan bukan seorang Nosferatu, pahlawan vampira yang sangat digeruni dan ditakuti. Sepatutnya dia berterima kasih kepada lelaki itu. Malang sekali, hanya pertengkaran saja yang menghiasi perhubungan mereka.

“Kau menyesal?” Miquel cuba membaca fikiran Larissa. Dia mahu tahu apa yang Larissa fikirkan saat itu. Namun tembok minda yang dibina oleh Larissa begitu kuat, menghalangnya berbuat demikian.

“Menyesal?” Larissa menoleh ke sisinya.

“Jadi seorang Nosferatu,” jelas Miquel.

“Tiada lagi kekesalan. Daripada hidup menjadi Strigoi, aku rela menjadi Nosferatu. Sekurang-kurangnya aku tak jadi sesuatu yang aku benci.” Larissa mendongak. Buah delima diangkat dan kemudian diperah jusnya. Jus berwarna merah darah itu mengalir segar masuk ke dalam mulut Larissa. Sebahagian kecil jus melimpah keluar dari bibirnya dan mengalir melalui dagu, merentasi leher dan kemudian ke dada.

Menyesal? Matanya dipejamkan seketika menikmati keenakan jus delima yang berupaya memulihkan tenaga serta-merta. Kesal…ya…mungkin ada. Imbasan dunia Gaia bak melambainya, memanggilnya pulang. Gaia….

KEADAAN di dalam makmal sunyi dan sepi. Hanya kedengaran bunyi mesin berderum perlahan di samping denyutan alat mengepam jantung. Semua saintis yang terlibat dalam uji kaji itu sudah lama pulang. Hanya seorang saintis muda yang gigih masih meneruskan kerja-kerja yang banyak.

Lyra meneliti sampel darah makhluk yang terbaring kaku di atas meja keluli. Sungguh aneh. Sel darah merah makhluk yang minum darah manusia itu bergerak aktif dan berubah apabila dia menitiskan setitik darah manusia ke dalamnya. Serta-merta sel darah merah makhluk itu menyerap darah manusia dan mengubah bentuknya.

Dia menjauhi stetoskop dan berpaling ke arah makhluk yang terbaring kaku itu. walaupun ia kelihatan seperti manusia dewasa biasa, makhluk ini mempunyai taring atau siung. Menggunakan siung itu, dia menghisap darah manusia sehingga membunuh. Orang memanggilnya sebagai vampire.

Tidak sangka pula mitos karut zaman dahulu ini rupa-rupanya benar. Itu pun memakan masa beratus-ratus tahun bagi manusia membuktikan kewujudan makhluk ini secara saintifik. Makhluk ini berjaya ditangkap oleh kumpulan yang mendakwa mereka ialah pemburu vampire. Kumpulan ini telah wujud beratus tahun lamanya. Selalunya mereka akan membakar vampire ini. Tetapi disebabkan hendak membuktikan kepada manusia sejagat yang makhluk ini benar-benar wujud, mereka telah menyerahkannya kepada saintis di Pusat Kajian Paranormal.

Lyra meletakkan kaca mata jernih yang dipakainya sebentar tadi di atas meja. Dia mengusap pelupuk mata yang keletihan. Tubuhnya terasa tidak berdaya kerana sejak kehadiran vampire itu di makmalnya, begitu banyak kajian yang perlu dijalankan bagi memahami kewujudan makhluk seperti ini. Makhluk jenis pemangsa yang semakin bermaharajalela menakutkan manusia sejagat.

Lyra menanggalkan kot makmal di tubuhnya. Masa untuk pulang dan berehat. Esok, awal-awal lagi dia perlu ada di sini. Baru beberapa tapak dia melangkah, dia terdengar bunyi benda jatuh. Sepantas kilat Lyra berpaling. Dia sungguh terperanjat melihat vampire yang kaku tadi sudah berdiri di hadapannya; menyeringai mempamerkan dua bilah siung.

Nafas Lyra terhenti. Kakinya kaku. Renungan vampire itu bagaikan memukaunya supaya tidak ke mana-mana. Lantaran, dia hanya tegak berdiri menanti makhluk itu menghampirnya.

“Lyra Anastasia Hunter….” Namanya disebut penuh.

Makhluk itu tahu namanya? Bagaimana?

“Ya…bagaimana?” Lelaki vampire itu menghulurkan tangannya mengusap pipi Lyra perlahan-lahan. Dia masih tersenyum mempamerkan siung yang sudah tentu tajam seperti mata pisau.
“Aku dah lama memerhatikan kau. Haruman darahmu begitu menggoda naluriku.”

Lyra memalingkan wajahnya. Tubuhnya sudah menggigil ketakutan. Dia cuba bergerak. Gagal. Ada satu tali halimunan yang bagaikan mengikat tubuhnya di situ.

Vampire itu tersenyum apabila menyedari apa yang cuba dilakukan oleh Lyra. “Hmm…aku lebih suka ‘makanan’ aku susah nak ditangkap.”

Tubuh Lyra terasa ringan. Dia sudah boleh bergerak? Tanpa tunggu lebih lama, dia terus berpaling dan melarikan diri dari situ. Namun itulah yang dimahukan oleh sang vampire. Dia suka main kejar-kejar dengan Lyra. Dengan mudah, dia dapat menangkap Lyra semula. Tubuh Lyra ditolak ke dinding. Tanpa membuang masa, sang vampire membenamkan siung tajamnya ke leher gadis itu. Lyra menjerit kuat menahan bisa yang begitu menyakitkan; menjalar ke seluruh tubuhnya.

Tiba-tiba tubuhnya tergelungsur di atas lantai ibarat kain buruk. Lyra membuka matanya. Dia terkejut melihat pergaduhan yang sangat pantas berlaku di hadapan matanya. Lyra hanya nampak dua bayang hitam saling serang-menyerang dengan begitu pantas. Bisa di tubuhnya sudah berkurangan. Lyra menggagahkan diri untuk bangun. Sebelah tangannya menekup leher. Darah merah membasahi seluruh tapak tangannya. Dia belum mati lagi. Betapa bersyukurnya dia. Namun dia tidak ada masa mahu memikirkannya. Lyra perlu segera pergi dari situ jika dia mahu hidup. Pergaduhan dua vampire itu nyata merebutkan nyawanya.

Baru setapak Lyra melangkah, kepalanya terasa ringan dan berpusing-pusing. Dia jatuh terjelepok ke atas lantai. Apa yang sudah berlaku? Kenapa tubuhnya tiba-tiba lemah dan tidak berdaya?

Dengan pandangan yang berbalam, Lyra dapat lihat ada api yang menyambar dan jeritan bergema memenuhi ruang makmal itu. Sebentar kemudian, sesusuk bayang hitam berdiri di hadapan Lyra. Gadis itu segera mendongak.

Lelaki itu merenungnya dengan simpati. Lyra mengeluh lega. Dia bukan si vampire tadi. Tubuh Lyra diangkat dan dibawa keluar dari makmal yang sedang terbakar. Lyra merasakan tubuhnya bagaikan melayang-layang. Dia tidak dapat melihat dengan jelas. Bunyi bising kenderaan bergema di bawahnya. Di bawahnya? Lyra cuba melihat di mana dia berada. Namun disebabkan tubuhnya yang semakin lemah, dia tidak berdaya mahu mengangkat kepala. Kepalanya sudah terkulai di dada lelaki yang menyelamatkannya itu.

Bunyi bising semakin berkurangan. Kini suasana sepi menghambat sekelilingnya. Yang hanya kedengaran ialah suara unggas bersahutan dan bunyi air berderuan. Di manakah dia sekarang? Tubuhnya diletakkan di atas rumput. Manakala kepalanya masih lagi di ribaan lelaki yang menyelamatkannya itu.

“Lyra Anastasia Hunter.” Namanya dipanggil.

Lyra cuba melawan kegelapan yang mahu menelan kesedarannya. Matanya yang layu merenung wajah lelaki di hadapannya. Wajah lelaki itu sungguh kacak. Bagaikan putera raja yang turun dari kayangan. Bermimpikah aku? Atau fikiranku yang penat sedang mengacah yang bukan-bukan?

“Kau akan mati!”

Bulat mata Lyra merenung ‘putera kayangan’ itu. Tubuhnya rasa menggigil kesejukan.
“Kemudian akan dilahirkan semula sebagai Strigoi.”

Sepatah pun dia tidak faham apa yang lelaki itu cuba sampaikan.

“Sigoi?” Dia mengajuk cakap lelaki itu. Suaranya perlahan dan lemah.

“Strigoi. Makhluk yang menyerang kau tadi.”

Lyra sudah tidak dapat berfikir dengan betul. Tubuhnya sudah menggigil kesejukan. Wajahnya sudah pucat. Bibirnya membiru.

“Aku harus tamatkan apa yang dia mulakan. Tapi kau akan lahir sebagai Nosferatu!”

Luka di lehernya berdarah kembali apabila sepasang siung milik ‘putera kayangan’ itu terbenam mendalamkan luka yang lama. Lyra menjerit menghabiskan sisa nyawanya sebagai manusia.

“LARISSA!”

Matanya terbuka pantas. Segera dia bangun dan memandang ke sekeliling. Zarique sudah pun berdiri di hujung kakinya. Pantas Larissa memalingkan tubuhnya daripada lelaki itu. Hatinya terasa sebal tanpa sebab. Mungkinkah mimpi tadi membuatkan dia berperasaan begitu?

“Larissa!” Tubuhnya dipeluk erat dari belakang. “Why do you must do something really stupid and reckless like that?” Zarique berbisik di telinganya.

“Because I hate you!” Larissa mengetap gigi.

Episod 2: Abunai (bahaya)

ESTET kepunyaan keluarga Hunter terbentang luas dari timur ke barat daerah Peridot. Pelbagai jenis tanaman tumbuh melata seperti anggur, strawberi, delima, epal dan limau. Dek kerana terlalu luas, Kyra selalu dilanda masalah menguruskannya. Dia tiada pengetahuan yang luas dalam perladangan. Menjual sebahagian daripada ladangnya merupakan jalan terbaik.

Dengan bantuan Veta, dia mengadakan bidaan terbuka bagi sebahagian tanah milik keluarga Hunter. Semua pemilik hartanah yang idamkan sebahagian ladang milik keluarga Hunter yang subur, berduyun-duyun datang menawarkan harga tertinggi. Bidaan terlalu sengit kerana masing-masing mahu mendapatkan tanah keluarga Hunter yang bersempadan dengan Gunung Sugilite.

“Kita sudah ada pembida tertinggi yang sanggup membayar 10 juta onyx.” Veta mengumumkan.

“10 juta onyx?” Kyra begitu terkejut. Siapa pula yang sanggup membayar sebegitu mahal bagi mendapatkan tanah di pinggir Gunung Sugilite? “Siapa dia?” Perasaan ingin tahunya begitu mendalam.

“Dia…Lord Zarayy Astar. Jutawan muda yang paling kacak dari daerah Opal.” Veta tiba-tiba teruja.

Kyra tidak pula pernah mendengar nama itu. Tanpa melayan perasaannya dengan lebih jauh, dia bangun menghampiri meja tulis. “Serahkan dokumen perjanjian segera. Aku dah tak sabar nak kembali ke bandar Gibeon. Hidup aku tak bernyawa di sini.” Kyra menyerahkan satu fail kepada Veta.

Langkahnya kemudian, diatur pantas menuju ke kamarnya. Dia mahu bersiap-siap dan segera meninggalkan istana Hunter. Rumah itu banyak mengingatkannya mengenai sejarah silam yang tak ingin dikenangnya lagi. Sementelah, hidup di desa seperti itu bukan pilihannya. Dia lebih suka hidup di bandar yang sentiasa bernyawa 24 jam.

DUA jam perjalanan menaiki kereta, membawa Kyra ke pinggir bandar Beryl. Dari situ, dia menaiki tren laju untuk masuk ke bandar Gibeon, yang serba canggih dan moden. Kyra berasa lega tiba di kondominiumnya yang terletak di tingkat 88 di Menara Jade. Pintu kaca dikuak luas, membenarkan angin menghembus masuk ke kediamannya. Ah…udara Gibeon yang berperisa besi itulah yang menjadi kerinduannya. Dia tidak betah diam lama-lama di Peridot walaupun udaranya sesegar rumput hijau yang disimbah embun.

Sebaik sahaja tamat sekolah rendah, dia bersekolah di sekolah berasrama penuh di Gibeon. Semenjak hari itu, Kyra jarang pulang ke Peridot. Disebabkan ladang milik keluarganya menghadapi masalah pengurusan, dia terpaksa pulang menjual sebahagian tanah yang diwarisi atas namanya. Baki yang tinggal, milik adiknya yang sudah lama menghilangkan diri. Biarlah tanah itu ditadbir oleh Yayasan Hunter, seperti selalunya. Kyra tidak kuasa ambil tahu. Tugasnya mengendalikan agensi pengurus acara miliknya sudah cukup membebankan saban hari. Dia tidak perlukan sebarang gangguan dari desa. Apatah lagi berkaitan hal perladangan yang sangat asing bagi dirinya.

Telefon bimbit di atas meja berbunyi. Segera Kyra melangkah masuk ke dalam. Nama Veta berkelip-kelip.

“Ya, Veta. Ada apa?”

“Lord Zarayy nak jumpa kau.” Suara Veta kedengaran begitu mendatar. Bagaikan robot pula.

“Kenapa pula?” Kyra menyoal, agak tidak senang. Dia memang malas mahu terlibat lebih jauh dalam urusan penjualan tanahnya. Tugas itu telah diserahkan kepada Veta. Sebagai ejen, sepatutnya Veta tidak menyusahkannya lagi.

“Dia tak cakap kenapa. Tapi esok dia jemput kau ke vilanya di bandar Opal. Pemandunya akan jemput kau di pejabat. Tengah hari. Pukul 12.” Seperti membaca nota, Veta memberitahu.

“Veta…are you okay?” Kyra diserang perasaan hairan. Kenapa Veta bercakap seperti mesin? Tidak bernada dan seperti membaca.

“Jangan lupa esok.”

Talian diputusnya. Lama Kyra merenung telefon di tangannya dengan harapan telefon itu boleh menjelaskan kenapa Veta berperangai pelik. Kyra melepaskan keluhan. Telefon diletakkan semula di atas meja. Dia melangkah masuk ke dalam bilik untuk membersihkan badan.

KEESOKAN harinya, Kyra cuba menghubungi Veta bagi memastikan temu janjinya dengan Lord Zarayy. Namun panggilannya tidak berjawab. Kyra terasa pelik. Nalurinya mahu memberitahu sesuatu. Tetapi apa dia?

“Cik Kyra, pemandu Lord Zarayy sudah menanti di bawah,” beritahu Tyida, penyambut tetamu di Amber Event Agency.

Degup jantung Kyra tiba-tiba bergerak pantas. Siapakah lelaki ini? Mendengar saja namanya, hati menjadi tidak keruan. Menurut kata Veta kelmarin, Lord Zarayy merupakan lelaki paling kacak di daerah Opal. Benarkah? Wujudkah watak fantasi seperti kisah putera dan puteri raja zaman dulu kala?

Lelaki paling kacak? Ada aku kisah?

Kyra mencapai beg tangannya. “Saya keluar dulu. Mungkin tak balik ke pejabat,” pesan Kyra kepada Tyida. Dia sendiri hairan bagaimana dia boleh meninggalkan pesanan sebegitu. Bukankah dia sibuk? Ada acara yang perlu diuruskan.

“Serahkan semua kepada Hara. Suruh dia ambil alih tugas saya buat sementara.” Sekali lagi Kyra dilanda hairan. Akukah yang bercakap tadi? Sementara fikirannya masih bertelagah memikirkan sikap anehnya hri itu, kakinya sudah pun melangkah masuk ke dalam lif kaca yang membawanya turun dari tingkat 11 menuju ke lobi.

“Cik Kyra…silakan.” Seorang pemandu berseragam hitam menjemputnya masuk ke dalam limousin bercermin gelap.

“Terima kasih,” ucap Kyra sambil menghadiahkan senyuman kepada pemandu yang begitu budiman.

Kereta bergerak meninggalkan bangunan Palladium menuju keluar dari bandar Gibeon. Daerah Opal terletak agak jauh dari bandar Gibeon. Lebih kurang sejam perjalanan menaiki kereta. Letaknya bersempadan dengan daerah Peridot, tanah kelahirannya. Dia kembali semula ke desa. Kyra mengeluh berat. Dia mulai bosan melihat barisan pokok beratur di kiri dan kanan jalan sebaik saja bandar Gibeon semakin jauh ditinggalkan. Rasanya baru saja dia keluar dari desa dan kini dia kembali.

Walaupun daerah Opal berdekatan dengan bandar Gibeon, tidak pernah pun Kyra singgah di situ. Lagipun apa urusannya di daerah pertanian seperti Opal. Bezanya, tanaman di Opal lebih kepada bunga-bungaan seperti bunga matahari, mawar, tulip, lavender dan bermacam-macam lagi. Industri utama di daerah itu ialah minyak wangi. Hatta haruman yang dipakai oleh Kyra ketika itu datangnya dari daerah Opal.

Kereta yang mereka naiki mula memasuki bandar Opal, yang tidak sesibuk bandar metropolitan Gibeon. Kyra terasa bernyawa. Dia mengamati keadaan bandar itu. Boleh tahan juga sibuknya. Kyra terus menilai. Tetapi pemandangan itu tidak lama. Kereta yang dinaikinya menyusur ke jalan yang lengang. Di kiri kanannya ada pokok berbaris lagi. Kyra bersandar semula sambil berpeluk tubuh.

Pemandangan hijau di kelilingnya bertukar menjadi pelbagai warna; kuning, putih, jingga, ungu. Kyra terpegun. Ladang bunga! Wah…indah sungguh. Dia teruja melihat bunga-bungaan tumbuh melata seluas mata memandang. Bagaikan pelangi, berbaris-baris berselang seli mengikut jenis dan warna. Indah. Itulah tanggapan pertama yang singgah di fikiran Kyra.

Pemandangan ladang bunga berganti dengan deretan pokok mapel kuning dan jingga sebelum memasuki kawasan mansion yang luas. Istana Lord Zarayy. Kyra memandang kawasan sekelilingnya. Tak ubah seperti istana keeluarga Hunter di daerah Peridot. Bezanya, istana ini lebih besar dan tamannya…sungguh luas dengan deretan pancuran air tiga tingkat yang berbaris di sepanjang jalan masuk sehingga ke perkarangan istana.

Pintu kereta dibuka dan Kyra dijemput masuk ke dalam istana. Dia dibawa menuju ke bilik tetamu. Hiasan dalamannya bertemakan zaman gelap Eropah. Menarik dan menakutkan pada masa yang sama. Seorang butler menghidangkan secangkir teh Inggeris kepada Kyra.

“Lord Zarayy akan sertai cik untuk makan tengah hari sebentar lagi,” beritahu butler itu dengan cukup hormat.

Sambil mencicip teh, Kyra menebarkan pandangan di sekitar bilik yang luas itu. Segala-galanya yang terdapat di dalamnya menggambarkan cita rasa tinggi pemiliknya. Cukup mewah dan antik. Malangnya ia bukan cita rasa Kyra.

LORD ZARAYY tersenyum memerhatikan gadis yang sedang menikmati teh sambil membuat penilaian tentang istananya. Perasaan gadis itu sejernih kristal. Setiap keluhan perasaannya dapat didengar dengan begitu jelas. Jadi inilah dia pewaris keluarga Hunter?

“Lady Kyra Sophia Hunter.”

Kyra pantas berpaling ke belakang mendengar nama penuhnya disebut sekali dengan gelarannya. Tiada sesiapa yang tahu mengenai gelaran itu.

Berdiri di hadapannya kini, seorang lelaki yang cukup segak berkot. Rambutnya yang berwarna biru itu disisir kemas, pendek di atas kolar kemeja putih. Kulitnya putih, sedikit pucat berlawanan dengan matanya yang berwarna sapphire. Wajah yang bersih daripada sebarang cela itu memang kacak, seperti yang dipuja dan dipuji oleh Veta. Dia pastinya putera kayangan yang menjadi kegilaan setiap gadis. Macam patung lilin, begitu sempurna.

Lord Zarayy tersenyum mendengar bicara hati Kyra. Patung lilin? Langkahnya diatur yakin menghampiri Kyra.

“Selamat datang ke istana Astar.” Lord Zarayy mencapai tangan Kyra dan menciumnya.

Kyra terpinga. Bukan tangan Lord Zarayy yang sejuk itu memeranjatkannya, tetapi tindakan lelaki itu benar-benar membuatkan dia tidak bersedia.

“Te…terima kasih kerana menjemput.” Kyra tiba-tiba tidak boleh bercakap dengan betul. Berada begini hampir dengan Lord Zarayy membuatkan nafasnya seolah-olah sesak. Adakah dia sudah seperti Veta yang mudah kalah dengan wajah yang kacak seperti ini? Sama sekali tidak. Dia Kyra, gadis yang mencintai kerjaya melebihi sebarang hubungan intim bernama cinta.
Lord Zarayy mengambil cawan teh dari tangan Kyra dan meletakkannya di atas meja. Pergerakannya begitu lancar dan pantas. Kyra seolah-olah terpukau.

“Jemput ke kamar santapan, Lady Kyra.” Lord Zarayy menghulurkan tangan.

Teragak-agak Kyra mahu menyambut tangan Lord Zarayy. Bergandingan, mereka berjalan keluar dari bilik tetamu menuju ke dewan makan yang memuatkan meja panjang dan 42 kerusi. Lord Zarayy mempelawa Kyra duduk di kerusi di sebelah kanannya. Sementara dia duduk di kepala meja.

Sebaik saja mereka selesai menyelesakan diri, sekumpulan butler di istana itu mula menghidangkan entree. Mujur 8 course meal, getus Kyra. Sambil menikmati hidangan makan tengah hari, mereka berbual santai. Kebanyakan topik perbualan berkisar kepada penjualan tanah keluarga Hunter di kaki Gunung Sugilite.

“Kenapa nak jual?” tanya Lord Zarayy sambil mencicip jus anggur.

“Saya tak mampu nak uruskannya. Terlalu sibuk di agensi.” Telus jawapan Kyra. Dia sedang menikmati parfait, hidangan pencuci mulut.

“Dah lama saya awasi tanah di pinggir hutan Masa. Pemilik terdahulu enggan menjualkannya sehinggalah beberapa hari lepas.”

Kening Kyra terangkat sedikit. “Lord Zaray pernah bertemu dengan ayah saya?” Wajahnya diselubungi kehairanan. Jika di lihat daripada perawakannya, Lord Zaray mungkin berumur sekitar awal 30-an. Tidak mungkin dia pernah bertemu dengan Lord Hunter. Ini kerana ayahnya telah meninggal dunia 20 tahun yang lalu. Kalau dikira, umur Lord Zarayy pasti baru berusia 10 tahun. Tidak mungkin kanak-kanak sekecil itu tahu menilai hartanah. Mengarut sungguh.

Lord Zarayy tersenyum. Kyra bagaikan terpaku. Setulusnya, banyak perkara mengenai penampilan Lord Zarayy telah membuatkan dirinya bagaikan dipukau. Bagai pungguk rindukan bulan, memuja dan memuji keindahan makhluk ciptaan tuhan.

“Well…it’s not me specifically. But my…father talks a lot about your family…land…of course.” Lord Zarayy seperti begitu berhati-hati menyusun kata. Entah apa yang dia risaukan.

“Kalau ayah saya masih hidup, dia memang tak akan menjual tanah kami. Tapi saya bukan Lord Hunter. Dan hidup saya bukan di Peridot. Masa depan saya gemilang di Gibeon.” Begitu yakin Kyra memuntahkan kata-katanya. Dia lebih suka berterus-terang mengenai dirinya. “Saya pasti Lord Zarayy sudah puas hati kini kerana berjaya akhirnya memiliki sebahagian daripada tanah keluarga Hunter.”

“Sebenarnya saya lebih berminat dengan tanah di pinggir hutan Masa. Seperti yang saya katakan tadi.”

Kyra tidak dapat menyembunyikan perasaan hairannya. “Kenapa? Bukankah tanah di kaki Gunung Sugilite lebih subur daripada tanah hutan yang tak ada apa-apa tu?” Lagipun tiada sesiapa yang mahu membeli tanah yang tidak bernilai itu. Mujur tanah itu tidak diwarisi olehnya.

“Saya mahukan keseluruhan tanah milik keluarga Hunter.” Lord Zarayy berterus-terang.

Kyra mengukir senyuman kesal. “Maaf. Saya tak dapat nak bantu. Tanah itu kepunyaan adik saya. Malangnya dia dah tak ada lagi. Jadi tanah itu dah diwakafkan dan tak boleh dijual.”
“Maaf. Saya pasti ia menyedihkan Lady Kyra.”

Kyra menggeleng kepala. “Kejadian tu dah lama berlaku. Saya dah lupakannya. Hidup mesti diteruskan.” Kyra mengangkat gelas jus anggur dan mencicipnya sedikit, membasahkan tekak yang tiba-tiba kering kerana menipu. Apa lagi yang boleh dilakukan olehnya jika ada orang bertanya mengenai keadaan adiknya? Lyra sudah lama menghilangkan diri tanpa jejak. Hilang begitu saja tanpa sebarang khabar berita. Sudah 5 tahun dia tidak tahu di mana Lyra berada. Anehnya Pusat Kajian Paranormal menafikan penglibatan Kyra. Kata mereka, Lyra Anastasia Hunter tidak pernah bekerja dengan mereka. Apabila dia menyemak di Jabatan Pendaftaran, nama adiknya tidak wujud. Seolah-olah Lyra Anastasia Hunter tidak pernah dilahirkan!

Lord Zarayy cuba membaca fikiran Kyra. Namun dia hanya lihat kegelapan. Dia diserang perasaan hairan. Adakah gadis ini punyai kebolehan kelubung minda? Hanya vampira saja yang ada kebolehan seperti itu. Tetapi tidak mungkin. Sewaktu gadis itu tiba, Lord Zarayy dapat membaca fikirannya yang sejernih kristal itu. Ah, mungkin ada sesuatu yang telah menghalang fikiran gadis itu tatkala ini. Mungkinkah perbuatan seorang vampira?

Bagi memastikan tekaannya, Lord Zarayy cuba sekali lagi membaca fikiran gadis itu. Dia terkejut. Fikiran Kyra sudah kembali menjadi transparen. Memori apakah yang terkelubung sebentar tadi? Ini sesuatu yang menarik.

Jamuan makan tengah hari itu berlanjutan hingga ke minum petang. Kyra sebenarnya cuba menolak. Tetapi entah mengapa, setiap kali bertentangan dengan mata Lord Zarayy, hatinya menjadi lembut. Lantas dia tidak menolak pelawaan lelaki itu untuk bersiar-siar di ladang bunga milik keluarganya.

Hampir lewat petang, barulah dia berpeluang mengundurkan diri. Itu pun setelah berjanji akan bertemu lagi dengan lelaki itu. Kyra tersenyum sambil menggeleng kepala di dalam kereta sewaktu pulang ke bandar Gibeon. Veta tentu tidak percaya dengan apa yang berlaku kepada dirinya. Lantas telefon bimbitnya dicapai. Nombor telefon Veta ditekan. Namun hampa. Taliannya tidak bersambut. Ke mana Veta?

Episod 3: Shinpai (Bimbang)

LARISSA memegang dadanya. Nafasnya sesak. Dia jatuh melutut. Larimar di dalam genggaman terlepas. Cahaya biru yang memijar terus terpadam.

“Larissa!” Zarique segera menerkam ke arah gadis itu. Serangan dua Strigoi ditangkis serentak.

“Miquel!”

“Ya, aku datang!” Miquel melompat pantas. Memancung 3 Strigoi yang mahu menyerang Zarique dan Larissa berturut-turut.

“Cepat! Bawa dia pergi!” Arah Miquel sambil melindungi Zarique dan Larissa.

Sepantas kilat, Zarique melarikan Larissa dari medan tempur yang hangat itu. Tubuh Larissa yang kaku, dibaringkan di atas rumput. Butang baju Larissa dibuka. Zarique mahu memastikan luka di dada gadis itu tidak sampai menembusi jantung. Dia mengeluh lega apabila mendapati luka itu perlahan-lahan sembuh.

Zarique mengetap rahang. Amarahnya bersemarak. Mengapa sejak akhir-akhir ini Larissa selalu hilang tumpuan dan cemerkap? Kelalaiannya mula mendapat perhatian pihak atasan. Bila-bila masa saja mereka boleh mengeluarkan arahan menangkap dan menghukum Larissa kerana gagal menjalankan tugas dengan baik. Zarique tidak mahu kehilangan gadis itu.

Larissa membuka matanya. Dia kembali bernafas. Perlahan-lahan dia bangun. Sebelah tangan menekup dadanya yang tadi dirobek dengan mata pedang. Kini luka itu sudah tidak berparut. Perlahan-lahan dia mengenakan kembali butang bajunya. Tanpa mempedulikan Zarique, Larissa berdiri. Larimar dikutip dan disarung ke pinggang. Langkahnya diatur pantas.

“Ke mana kau nak pergi?” Pantas Zarique menyambar lengan Larissa.

“Kembali ke medan tempur,” jawab Larissa bersahaja.

“Kau dah semakin cemerkap, Larissa. Aku tak fikir itu satu tindakan yang bijak. Lamia sedang memerhatikan kau.” Zarique memberikan amaran serius.

“I’m already dead, Zarique. Why worried now?” Dengan selamba dia melompat tinggi dan memijak dahan demi dahan untuk kembali ke medan pertempuran yang semakin sengit.

Tadi dia memang telah melakukan kesilapan. Entah mengapa tumpuannya hilang seketika. Fikirannya melayang-layang terkenangkan Kyra. Dia dapat mengesan bahaya yang menghampiri Kyra. Waktu dia alpa sesaat, tika itu Strigoi yang menjadi lawannya mengambil peluang. Dadanya ditikam. Mujur luka itu tidak dalam kerana dia sempat memancung kepala Strigoi itu sebelum dia sendiri jatuh melutut ke atas tanah.

Larissa tidak boleh membiarkan fikirannya terganggu. Walaupun dia berupaya membina kelubung minda yang tidak boleh dicerobohi oleh mana-mana vampira termasuk Lamia, tindak-tanduknya yang cuai boleh saja meletakkan dirinya dalam bahaya. Larissa kembali memusatkan tumpuan kepada pertempuran di hadapannya. Fikirannya ditutup daripada memikirkan Kyra. Buat seketika, dia harus melupakan Kyra demi keselamatannya sendiri.

ARAHAN yang dikeluarkan oleh Lamia jelas menunjukkan Larissa masih belum berkelayakan ke Gaia. Walaupun sudah 5 tahun dia menjadi vampira, tidak sekali pun dia diberikan kebenaran menjejaki semula bumi Gaia. Ini semua gara-gara hilang tumpuannya dalam pertempuran sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pemergian Zarique ke Gaia dihantar dengan perasaan sebal.

“Don’t do something stupid.” Zarique mengusap pipi Larissa. Berat sungguh hatinya hendak meninggalkan gadis itu. Tapi demi arahan Lamia, dia akur. Zarique tunduk dan mencium dahi Larissa. Kemudian sekelip mata dia menghilang sebaik saja menyeberangi Sungai Masa.

Larissa menghela nafas berat. Dia amat rindukan Gaia. Kalaulah dia boleh ikut Zarique….

“Ayuh…jangan termenung lagi. Kita harus ke ladang delima. Tugas seterusnya sedang menunggu,” ajak Miquel.

Segera Larissa menumpukan perhatiannya semula. “Ke ladang delima!” Sekelip mata, mereka berdua ibarat bayang-bayang hitam yang bergerak begitu pantas meninggalkan pinggir hutan di kaki Gunung Sugilite menuju ke ladang delima.

Lamia telah mengarahkan mereka berdua menyiasat kejadian serangan yang berlaku ke atas Darvulia. Beberapa orang Darvulia didapati mati dibunuh secara misteri. Dada mereka dirobek dan jantung mereka hilang. Ketakutan mula menyelubungi ladang delima sehingga penanamannya terganggu.

Keadaan di ladang delima sunyi. Hari semakin gelap. Disebabkan kejadian bunuh itu, tiada seorang pun Darvulia yang berani bertugas menjaga ladang itu daripada dirosakkan tupai dan haiwan lain.

Miquel memetik sebiji delima dan membalingnya ke arah Larissa. Buah delima itu terkena kepala Larissa.

“Aduh!” Larissa terpinga. Konsentrasinya menjejak kesan tapak kaki aneh terganggu. “Jangan main-main. Kita sedang bertugas.” Larissa mengetap gigi, menahan marah.

Miquel hanya tersengih sambil memamah delima di tangannya. Dia memang suka menyakat Larissa yang selalu serius itu. “Apa yang kau belek tu?” Miquel melompat turun dari dahan delima dan mendarat tanpa bunyi di sisi Larissa yang sedang bertinggung mengamati tanah.

“Kau lihat…tapak kaki ni sungguh aneh. Ia seperti tapak kaki Strigoi tetapi lebih besar dan lebar.” Larissa mengaup tanah itu dengan tangan dan menciumnya. Busuk hamis. Segera tanah itu dilemparkan.

Miquel meniru perbuatannya. “Aneh. Aku tak cam bau ni.” Miquel juga diserang rasa hairan.

“Aku pasti walau apa pun yang menyerang Darvulia, ia bukan Strigoi atau mana-mana makhluk yang kita tahu.” Larissa membuat andaian.

“Ada satu puak yang telah dihalau dari Tourmaline beratus-ratus tahun dahulu. Tapi aku tak fikir mereka kembali.”

Larissa berpaling merenung Miquel. “Puak apa?” Rasa ingin tahunya membuak. Selama lima tahun dia di bumi Tourmaline, dia sudah kenal kesemua makhluk yang menghuni dunia itu selain vampira.

Miquel tersenyum dan menggeleng kepala. “Aku pun tak pernah berhadapan dengan mereka. Zarique mungkin pernah.”

“Puak apa?” Larissa menggesa dengan tidak sabar.

Belum sempat Miquel hendak menyebutnya, tiba-tiba mereka terbau sesuatu yang hamis. Deria mereka yang tajam dapat mendengar bunyi tanah dipijak. Larissa dan Miquel sama-sama berpaling memandang ke arah rimbunan belukar. Dahan belukar bergerak. Dan di sebalik belukar itu muncul sejenis makhluk berbulu lebat.

“Ly…Lycan!” Tergagap-gagap Miquel menyebut nama makhluk itu.

“Lycan?” Larissa mengawasi makhluk berbulu yang besar dan tinggi melebihi mereka. “Serigala bertubuh manusia?” Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Satu lagi makhluk mitos muncul di hadapannya.

Miquel mencengkam lengan Larissa dan menarik gadis itu berundur perlahan-lahan. “Aku rasa kita patut cabut lari.” Miquel berbisik keras.

“Kenapa pula? Dia seorang, kita berdua. Lagipun kita lebih pantas.” Larissa teruja. Hulu Larimar dipegang kejap.

“Kau tak faham. Lycan bukan lawan kita. Aku sendiri tak pernah berhadapan dengan mereka. Mereka makhluk yang kuat. Kalau ada seorang, pasti ada ramai lagi. Lycan bergerak dalam kumpulan 5 orang.” Miquel sudah pun berundur perlahan-lahan.

“Kalau begitu, kau pergi minta bantuan sementara aku lengahkan dia ni!” Larissa terus menarik keluar Larimar. Cahaya biru mula memijar.

“Larissa…jangan!” Belum sempat Miquel menghalang, Larissa sudah menghunus Larimarnya ke arah Lycan yang sudah berderam kasar.

Miquel tiada pilihan lain. Jika dia tidak meminta bantuan, mereka berdua pasti akan mati sekali lagi dikerjakan oleh Lycan. Sepantas kilat, Miquel menghilangkan diri dalam kepekatan malam.

Pergaduhan antara Larissa dan Lycan semakin hebat. Walaupun nyata sukar bagi Larimar menyentuh tubuh Lycan, Larissa tetap berpuas hati kerana akhirnya dia dapat bertemu dengan seteru yang benar-benar memberikan lawan yang setanding. Bukan seperti melawan Strigoi yang tidak berotak itu.

TUBUH Larissa terpelanting membanting batang pokok delima. Pokok itu rebah ke tanah. Larissa bingkas bangun. Sambil sebelah tangan menyeka darah yang mengalir di hujung bibir, Larissa menyerang Lycan yang langsung tidak terjejas sedikit pun keadaannya. Benar kata Miquel. Lycan ini bukan lawannya. Tetapi dia sudah terlewat hendak menyesal. Lebih baik dia berusaha menewaskan Lycan itu.

Larissa melompat tinggi ke udara. Mata Larimar dihunus ke bawah tepat menyasar ke belakang leher Lycan. Larimarnya terbenam ke dalam tubuh Lycan. Namun Lycan yang cedera itu tidak berputus asa. Dia menghayunkan tangan menepis ke arah Larissa. Kukunya yang tajam menggarit lengan Larissa.

Larimar terlepas dari pegangan. Larissa tercampak ke tanah menekup lukanya yang berdarah. Lycan itu berpusing-pusing cuba mencabut Larimar. Langkahnya semakin lama semakin perlahan sebelum rebah ke tanah tidak bergerak.

Larissa mengeluh lega. Hampir habis tenaganya menumpaskan si Lycan yang begitu liat nyawanya.

“Larissa!” Miquel menerpa. Di belakangnya seorang Lamia dan dua Nosferatu mengekori. Miquel terkejut melihat kecederaan pada lengan Larissa. Lukanya dari bahu hingga ke siku, begitu dalam.

“Dia tak akan apa-apa.” Lamia bernama Lord Talon itu memeriksa luka di tangan Larissa. Kemudian dia bangun dan menghampiri Lycan yang sudah tidak bernyawa. Larimar milik Larissa dicabut. Nosferatu bernama Senen segera menyambutnya.

“Nampaknya mereka sudah kembali. Empat orang rakannya pasti akan kembali ke sini menuntut bela.” Lord Talon seolah-olah membuat pengumuman. “Lanos, arahkan semua Nosferatu bersedia untuk memburu Lycan.”

“Baik tuan!” Nosferatu bernama Lanos itu tunduk hormat sebelum menghilangkan diri ke istana Lamia bagi mengumpulkan kesemua Nosferatu yang ada.

“Mengagumkan!” Lord Talon bertinggung di sisi Larissa sekali lagi. “Lord Valerian pasti mahu bertemu dengan kau. Belum pernah ada Nosferatu seusia kau yang berjaya menumbangkan Lycan.”

Larissa tidak peduli dengan pujian itu. Bahu dan tangannya masih sakit. Bisa sungguh cakar Lycan itu. Mungkin sebab itu lukanya lambat pulih berbanding dengan kecederaan lain.

“Iringi dia ke istana,” perintah Lord Talon.

Episod 4: Garou (Lycan)

KYRA berjalan ke hulu dan ke hilir seperti harimau di dalam sangkar. Sudah dua hari Veta menghilangkan diri. Syarikat hartanah tempatnya bertugas juga kehairanan kerana Veta tiba-tiba tidak melaporkan diri. Kali terakhir mereka menerima laporan daripada gadis itu ialah dua hari lalu selepas dia selesai menguruskan lelongan tanah milik keluarga Hunter. Laporan polis sudah dibuat dan pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian ini. Menurut pihak polis, sejak kebelakangan ini, kes orang hilang begitu banyak dilaporkan. Kes ini meningkat 20 peratus dalam masa hanya beberapa bulan.

Kyra menghenyakkan tubuhnya di atas sofa. TV skrin rata LCD 3D menjadi tumpuannya. Dengan menggunakan alat kawalan jauh, Kyra memilih saluran. Siaran berita utama menjadi pilihannya. Lagi berita mengenai orang hilang dilaporkan. Kemudian berita bertukar melaporkan pula penemuan mayat tanpa kepala. Arghh…ngeri benar Kyra hendak membayangkannya. Lantas dia segera mengalih siaran. Lebih baik menonton rancangan masakan. Boleh juga dia mengasah bakat yang tumpul itu. Sedang asyik dia menonton Chef Laura Calder menyediakan parfait, telefon bimbitnya berbunyi. Tiada nombor yang terpamer. Pastinya nombor peribadi.

“Helo?” Kyra tertanya-tanya. Siapa pula yang memanggil?

“Cik Kyra Hunter? Saya Detektif Erzad Russel. Dua orang pegawai saya dalam perjalanan ke kediaman cik. Ia berkenaan dengan kehilangan Cik Veta Delores. Kami perlukan bantuan cik di presint.”

Degup jantung Kyra berdentum kuat. Sehinggalah ketibaan dua pegawai yang dimaksudkan oleh Detektif Erzad, Kyra tidak berupaya mengusir perasaan gundah yang bermaharajalela. Dia dibawa ke presint polis menaiki kereta peronda. Sebaik saja tiba, Kyra disambut oleh Detektif Erzad.

“Cik Hunter.” Detektif Erzad menghulurkan tangan. “Kami perlukan bantuan cik untuk pengecaman.”

“Pengecaman siapa?” tanya Kyra selepas menyambut tangan Detektif Erzad.

“Pagi tadi cik ada buat laporan orang hilang ke atas Cik Veta Delores. Lewat petang tadi kami menemui mayat seorang wanita. Ujian DNA telah dilakukan.”

“Adakah ia….” Kyra tidak dapat meneruskan kata-katanya. Lututnya menjadi lemah. Dia segera berpaut pada dinding.

“DNA itu milik Cik Delores. Cuma kami masih perlukan bantuan Cik Kyra untuk cam mayat mangsa kerana…mayat mangsa tidak berkepala.” Kyra terus terduduk di atas lantai. Tidak percaya. Jadi berita yang dilihatnya tadi melaporkan penemuan Veta?

“Cik tak apa-apa?” Detektif Erzad membantu Kyra bangun. Dia menghulurkan secawan air. “Cik Kyra tak perlu melihat mayat. Cuma kami nak Cik Kyra pastikan barang-barang yang kami kumpul itu milik Cik Delores.” Keadaan mayat yang tidak sempurna pasti tidak sesuai ditonton oleh gadis manis yang lemah semangat seperti Kyra, fikir Detektif Erzad.

Dia sendiri terpaksa menahan kengerian melihat keadaan mayat. Tidak pernah sepanjang dia bertugas, bertemu dengan mayat yang sebegitu mengerikan. Tubuh Cik Delores hampir berkecai. Ia seperti dicarik-carik. Kaki dan tangan terputus dari badan. Selain kepala, jantungnya turut hilang. Adakah ia perbuatan binatang buas? Tetapi binatang buas manakan boleh menanggalkan kesemua pakaian mangsa. Lagipun tiada tapak binatang dijumpai di sekitar kawasan berlakunya serangan.

Setelah berjaya menenangkan dirinya, Kyra meminta supaya Detektif Erzad membawanya ke tempat barang-barang milik Veta disimpan. Satu persatu isi di dalam kotak sederhana besar itu dibelek. Setiap barang telah disimpan di dalam plastik lut sinar. Ini bagi memastikan bukti tersebut tidak tercemar. Kyra menarik nafas berat. Dia memandang Detektif Erzad yang begitu setia menemaninya.

“Kesemua barang ni memang milik Veta.” Kyra paling cam kalung berloketkan hati yang diperbuat daripada platinum itu. Dia yang menghadiahkan kalung itu kepada Veta sempena ulang tahunnya tidak lama dahulu.

Sebaik selesai urusan di presint, Kyra dihantar pulang oleh dua pegawai polis yang menjemputnya tadi. sebaik saja tiba di rumah, Kyra termenung panjang mengenangkan nasib malang yang menimpa Veta. Adakah Lyra juga menerima nasib yang sama? Mati dibunuh dengan kejam oleh pembunuh yang tidak berperikemanusiaan? Kyra duduk di atas sofa sambil mendakap lutut ke dada. Walaupun dia tidak begitu akrab dengan Veta, kehilangan gadis itu tetap dirasai olehnya. Pasti keluarga Veta sedih dan kecewa atas nasib yang menimpanya.

Kyra cuba mengenang kembali saat-saat akhirnya bersama Veta sewaktu di ladang Hunter. Tiada apa-apa yang aneh mengenai Veta ketika itu. Dia sentiasa ceria dan penuh bertenaga. Cuma panggilan terakhir yang diterima daripada Veta memang mencurigakan. Ya, Kyra sudah ingat dengan jelas panggilan itu. Suara Veta mendatar seperti robot.

Seolah-olah dia sedang disuruh membaca ayat-ayat yang dituturkan olehnya. Kenapa begitu? Adakah ia ada kena-mengena dengan Lord Zarayy? Bukankah panggilan terakhir yang diterimanya daripada Veta menyampaikan jemputan Lord Zarayy? Tubuh Kyra terasa seram sejuk. Wajah Lord Zarayy mengisi fikirannya. Raut wajah lelaki itu tidak menggambarkan yang dia mempunyai niat yang buruk terhadap sesiapa. Mungkin penampilannya—kulitnya—yang putih pucat itu saja yang kelihatan aneh. Sikapnya seperti orang lain. Malah lebih budiman dan bersopan santun daripada kebanyakan lelaki bangsawan yang dikenalinya. Kyra mahu bertanya kepada Lord Zarayy mengenai Veta. Dia harus tahu kerana Kyra pasti Lord Zarayy mungkin orang terakhir yang menemui atau bercakap dengan Veta sebelum dia hilang. esok dia akan menghubungi lelaki itu bagi mengatur satu lagi perjumpaan.

Episod 5: Kowai (takut)
LORD ZARAYY berundur ke belakang dan melompat naik ke atas batu balkoni sebelum menguja ke udara. Dia mendarat tanpa bunyi di atas bumbung Menara Jade. Sebentar kemudian, dia disertai oleh orang kanannya yang seolah-olah terjun dari langit.

“Apa yang kau dah lakukan pada gadis itu?” Lord Zarayy pantas menyoal. Mantel di belakang tubuhnya berkibar ditiup angin malam.

“Macam biasa. Aku berbual-bual dengan dia. Kemudian aku dahaga. Tapi aku tak bunuh dia.” Lord Janus membela diri. Nampaknya Lord Zarayy sedang menuding jari ke arahnya atas nasib malang yang menimpa kawan Lady Kyra.

“Kalau bukan kau, siapa lagi?” Lord Zarayy dilanda kebingungan. Fikiran Janus sudah dibaca dan lelaki itu memang bercakap benar. “Kau kata dia tak mati lepas kau minum darahnya?”

Janus mengangguk. “Kau pun tahu, kita tak boleh ubah manusia menjadi vampira sesuka hati tanpa kebenaran Senat Lamia.” Janus seolah-olah mengingatkan Lord Zarayy. “Dan aku tak bunuh manusia sesuka hati. Ia bertentangan dengan naluri aku. Lepas dapat apa yang aku mahu, aku akan tinggalkan mereka.”

“Di mana kau tinggalkan Veta?” Lord Zarayy terus menyoal siasat. Dia perlu tahu kerana Kyra sudah mula mengesyaki dirinya terlibat dalam pembunuhan itu. Sungguh cekap gadis itu membuat perkaitan.

“Di sebuah motel di pinggir Gibeon. Tak jauh dari mayatnya ditemui polis.”

Lord Zarayy berjalan mundar-mandir. Rambutnya yang sentiasa dirapi kemas itu, sudah nampak berserabai. Tetapi penampilan itu tidak sedikit pun mencacatkan wajahnya. Dia lebih kelihatan kacak dan lasak.

“Menurut polis, kepala dan jantungnya hilang. Tiada sesiapa yang punyai modus operandi seperti itu melainkan….”

“Lycan?” Wajah Lord Janus berubah. Nama itu telah menggerunkannya. Selain vampira, hanya puak Lycan saja yang setanding kekuatan mereka.

“Mereka dah tiba ke Gaia. Setelah beratus-ratus tahun mendiamkan diri. Kini mereka kembali. Perkara ini harus dimaklumkan segera kepada Senat di Gaia.” Perkara yang paling dibimbangi Lord Zarayy berlaku jua. 500 tahun yang lampau, dia telah menghapuskan sekumpulan Lycan yang berlindung di kaki Gunung Sugilite. Mungkin dalam pertempuran itu, terdapat Lycan yang terselamat. Dan kini mereka mula mengumpulkan pengikut-pengikut baharu.

“Lycan itu sedang menjejak kau. Dan bau kau masih ada pada gadis malang itu.”

Wajah Janus berubah. “Dia menjejaki aku?” Maknanya Lord Janus sedang diburu. Lycan itu tidak akan berhenti selagi dia tidak temui apa yang diburunya.

“Apa lagi penjelasan yang ada. Lycan juga seperti kita. Tak akan menyerang manusia tanpa sebab kecuali apabila melibatkan survival.” Tiba-tiba Lord Zarayy dilanda keresahan. Lycan itu pasti menjejak Lord Janus ke situ, ke Menara Jade. Disebabkan Lycan bergerak secara berkumpulan, mereka pasti berpecah sebaik saja dapat mencium bau mereka berdua di situ.

Tidak mustahil, Lycan itu akan menjejakinya di rumah Kyra. Ini kerana, dia baru saja melawat Kyra tanpa disedari oleh gadis itu. Semenjak bertemu dengan Kyra, entah mengapa Lord Zarayy tidak dapat melupakan gadis itu. Ada sesuatu yang menarik mengenai gadis berambut merah dan bermata hijau itu. Kyra bagaikan magnet yang menarik dirinya. Seharusnya ia terjadi sebaliknya. Dia yang patut menjadi magnet menarik Kyra mendekati dirinya, sebagaimana yang berlaku kepada manusia lain yang berhadapan dengannya.

“Kau bimbangkan Lady Kyra?” Lord Janus meneka. Dia hanya nampak bayangan wajah gadis itu dalam fikiran Lord Zarayy ketika itu. “Kau tak sepatutnya terikat dengan dia, Zarayy. Melainkan kau ada niat nak ubah dia menjadi vampira.”

“Aku tak ada niat nak jadikan dia vampira. Tapi ada sesuatu mengenai dia yang menarik perhatian aku. Fikirannya…ada kalanya terselindung. Ada sesuatu yang tersembunyi dan aku pasti ada vampira yang telah menyembunyikan sebahagian memori gadis itu.”

“Lamia lain? Di sini? Siapa?”

Di Gaia, tidak ramai Lamia yang menetap di situ. Kesemuanya saling mengenali. Hanya Lamia saja yang boleh mengawal fikiran manusia. Tidak mungkin seorang Nosferatu boleh memanipulasi fikiran manusia walaupun bilangan mereka lebih banyak di Gaia. Adanya ramai Nosferatu di Gaia adalah kerana memburu Strigoi yang semakin banyak menghuru-harakan Gaia. Rahsia kewujudan vampira harus dijaga. Walaupun ada dalam kalangan manusia yang menggelari diri mereka pemburu vampira yang mendakwa mempunyai bukti kewujudan mereka, masih belum ramai yang mahu percaya. Bukti yang sedang dikaji oleh Pusat Kajian Paranormal dahulu sudah pun dihapuskan dan kewujudannya sudah dipadamkan daripada fikiran manusia yang terlibat.

“Aku tak tau. Dan aku mahu menyiasatnya. Rahsia apakah yang sangat penting hingga terpaksa disembunyikan.”

“Hati-hati, Zarayy. Dalam pada kau menyiasat perkara tu, kau akan semakin dekat dengan Lady Kyra. Lambat laun, kau harus membuat pilihan. Tukar dia atau bunuh dia.” Lord Janus memberikan amaran.

“Aku tau. Tapi buat masa sekarang, aku harus lindungi dia daripada Lycan. Disebabkan kita, Lycan akan menjadikannya sebagai mangsa.”

Malam itu, Lord Zarayy akan memerhatikan Kyra bagi memastikan tidak ada Lycan yang boleh mencederakannya. Begitu juga dengan malam seterusnya. Pada malam ketiga, sesuatu berlaku. Lord Zarayy dapat melihat kelibat beberapa orang Lycan sedang mengintai dari bangunan sebelah.

“Kita tak mampu menewaskan mereka sendirian, Zarayy.” Lord Janus memberikan amaran.

“Aku tau. Tapi sebelum kita cabut, aku harus selamatkan Kyra. Jika tidak Lycan pasti akan membunuhnya.” Lord Zarayy tidak boleh mementingkan dirinya sendiri. Kehadirannya membuatkan hidup gadis itu dalam bahaya.

“Kalau begitu, aku nasihatkan kau bertindak sekarang. Sementara mereka masih belum nampak kita.”

Lord Zarayy tiada pilihan lain selain menculik Kyra. Tiada masa untuk memberikan penjelasan.

“Kau selamatkan dia. Aku akan tarik perhatian Lycan ke arah lain.” Lord Janus mencadangkan.

“Tindakan kau tu mengundang bahaya.” Lord Zarayy tidak bersetuju. Lima lawan satu, Lord Janos pasti tiada harapan.

“Aku tak rancang untuk berhadapan dengan mereka. Aku cuma alih perhatian mereka sementara kau pergi selamatkan ‘buah hati’ kau tu. Aku belum mahu mati buat kali kedua. Lagipun aku yang mereka jejak. Bukan kau atau gadis malang tu.” Sekelip mata, Lord Janus terjun dari bangunan 90 tingkat itu. Kelibat lima orang Lycan pantas mengekorinya.

“Good luck, Janos. Kau memang cari nahas.” Lord Zarayy menarik nafas dalam-dalam sebelum dia melompat turun ke balkoni Kyra.

BERSAMBUNG DALAM VERSI CETAK

UNTUK MAKLUMAN, VERSI YANG DIPAPARKAN DI SINI IALAH VERSI BELUM EDIT, IAITU VERSI MENTAH. 

untuk pesanan, sila ke like page melarik enigma publications

Advertisements

7 thoughts on “Vampira: Hidupkan Cintaku

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s