Pengarang vs Penulis

cover vampira 3Kita sering menggunakan perkataan ‘pengarang’ dan ‘penulis’ silih berganti. Sesungguhnya, kedua-dua perkataan ini adalah agak berbeza. Penulis ialah orang yang menulis sebuah buku, artikel, atau mana-mana bahagian sastera. Manakala seorang pengarang ialah orang yang mengilhamkan  idea, plot, atau kandungan kerja yang ditulis. Pada satu-satu masa, pengarang dan penulis boleh menjadi orang yang sama. Dalam penulisan autobiografi, seseorang menulis tentang kehidupannya sendiri. Jadi penulis menyatakan pemikiran dan idea-idea beliau sendiri. Tetapi dalam penulisan biografi, penulis tidak menulis ceritanya sendiri sebaliknya menulis kisah orang lain. Idea-idea dan pemikiran berasal daripada subjek yang ditulis.

Walaupun perbezaan antara pengarang dengan penulis nampak seperti tidak banyak, bergantung kepada keadaan tertentu, perbezaannya mungkin jadi lebih. Jika anda menulis sebuah novel atau cerita pendek berdasarkan plot yang dibangunkan oleh anda sendiri, anda akan dikenali sebagai pengarang novel. Dan jika anda menulis mengenai idea atau cerita orang lain, anda akan dikenali sebagai penulis.

Ada ketikanya menjadi seorang penulis adalah lebih mudah daripada menjadi seorang pengarang. Sebabnya  pengarang dikehendaki mencipta, membangunkan, dan menyampaikan idea, manakala penulis  hanya menyampaikan idea orang lain. Jika seseorang penulis tidak mempunyai kemahiran dalam penulisan, ia masih dapat dimaafkan. Tetapi seseorang pengarang mesti mempunyai kemahiran menulis yang luar biasa untuk menjadi dominan dalam bidang ini.

Kemahiran menulis yang dimaksudkan termasuk menguasai  bahasa penyampaian dan mahir bermain dengan kata-kata bagi menyampaikan maksud yang jelas. Kemahiran ini dapat diperoleh melalui penulisan yang berterusan dan sesetengahnya mungkin daripada bakat semula jadi. Hanya seorang pengarang yang mahir mampu menggambarkan idea-idea, peristiwa, dan gambaran melalui perkataan semata-mata.

Dalam penulisan buku, seseorang dianggap sebagai pengarang hanya apabila buku yang ditulisnya itu diterbitkan. Jika kerja hasil penulisan itu tidak diterbitkan, dan walaupun idea itu miliknya sendiri, seseorang itu masih  dianggap sebagai orang yang menulis. Dan apabila kerja itu diterbitkan, barulah seseorang itu dikenali sebagai pengarang. Jadi, jika anda  banyak menulis, tetapi tidak pernah menerbitkannya  kepada orang ramai, anda kekal sebagai penulis.

Pengarang boleh mendapatkan hak cipta ke atas hasil penulisannya di bawah undang-undang hak cipta. Ini memastikan bahawa tiada sesiapa dapat mencuri atau menggunakan idea asal miliknya. Jadi hanya pengarang yang sentiasa dikaitkan dengan kerja-kerja penulisannya. Untuk menjadi seorang pengarang, seseorang itu mesti mempunyai keupayaan untuk berfikir dan meluahkan fikiran. Manakala penulis pula mesti mempunyai keupayaan untuk memahami dan menyampaikan idea dengan betul kepada pembaca.

Diterjemahkan daripada Difference Between Author and Writer

Advertisements

Teknik Penulisan

TEKNIK PENCERITAAN

Apakah teknik penceritaan pula? Tidak samakah dengan TEKNIK PLOT? Jawapannya, tidak sama. Teknik penceritaan ialah cara atau kaedah penulis menyampaikan cerita yang sudah dilakarkan dalam plot. Pelbagai teknik penceritaan boleh digunakan, sebagai contoh teknik naratif, teknik monolog (dalaman/luaran), teknik dialog, teknik imbas kembali, teknik imbas muka dan teknik-teknik lain.

Lihat contoh berikut:

Teknik naratif:
Wajah Cik Hodoh kelat memandang Encik Hensem yang begitu selamba berlalu pergi. Sedikit pun lelaki itu tidak menunjukkan kekesalan kerana sudah menjatuhkan kek hari jadi yang dibeli oleh Cik Hodoh.

Teknik dialog:
“Lain kali mata pandang ke depan. Bukan ke langit. Nak kata juling, elok pulak. Nak kata buta, jalan tak pakai tongkat!” tempelak Cik Hodoh, marah.
“Amboi…garangnya! Sudahlah muka tak lawa. Mulut macam murai pula!” balas Encik Hensem, tak mahu mengalah.

 

TEKNIK PLOT

Apa itu teknik plot? Plot ialah jalinan/jalan cerita atau babak demi babak yang hendak disampaikan oleh penulis. Contohnya:

Plot 1: Encik Hensem terlanggar Cik Hodoh di kedai kek. Kedua-dua mereka bergaduh. Plot 2: Sekali lagi Encik Hensem berjumpa Cik Hodoh di pejabat. Mereka masih lagi bergaduh.

Dan seterusnya sehingga sampai klimaks/konflik dan peleraian.

Plot membantu penulis memetakan perjalanan cerita mereka. Plot penting supaya idea penulisan dapat dikekalkan dan tidak hilang. Plot dapat memastikan penulisan tidak melompat-lompat atau berubah-ubah.

plot

Kongsi tips 2: Penulisan karya fantasi

Fantasi bermaksud imaginasi yang tak dibatasi kenyataan, angan-angan, khayalan (Kamus Dewan Ed. 3). Juga bermaksud, obsolete, a hallucination; something, such as an invention, that is a creation of the fancy.

“Fantasy is a genre that uses magic and other supernatural phenomena as a primary element of plot, theme, and/or setting. Many works within the genre take place in fictional worlds where magic is common. Fantasy is generally distinguished from science fiction in that it does not provide a logical (or pseudo logical) explanation for the scientifically impossible events that occur, though there is a great deal of overlap between the two (both are subgenres of speculative fiction) (Wikipedia).”

“Kekeliruan antara genre fantasi dan fiksyen sains seringkali berlaku akibat pertindihan antara kedua-dua aliran sastera ini. Buktinya, novel Harry Potter and the Goblet of Fire (JK Rowlings) telah memenangi Anugerah Hugo selaku novel fiksyen sains tebaik 2001, sedangkan ia dikenali umum sebagai karya fantasi kerana penggunaan unsur magis yang begitu ketawa selaku jentera penceritaannya.”

Pengkelasan tema genre fantasi:

  • sword & sorcery (quest, epic, heroic, wizards, sorcerer, enchantresses
  • saga, myth & legend (Arthurian legend, ancient civilization, Celtic, Asian, Byzantium)
  • fairy tales (The Familiar, Originals, Short stories)
  • a bestiary (unicorn, dragon)
  • contemporary (urban fantasy, magic realism, the human condition)
  • alternate & parallel worlds
  • time travel
  • paranormal powers (shape shifter, immortal, supernatural being)
  • dark fantasy
  • romantic fantasy
  • celebrity characters
  • shared worlds

Contoh karya fantasi:

  • heroic fantasy (Saga Artakusiad)
  • high fantasy (Lord of The Rings)
  • sword & sorcerer (Conan the Barbarian)

Pesan Abang Pat, menulislah atas dasar cinta. Aktiviti menulis ialah usaha jarak jauh yang mementingkan stamina, bukan kelajuan. Ia terbit dari hati, datang dari ilham. Less is more.

(Dipetik dan diolah daripada nota dan kuliah Ahmad Patria Dato’ Hj Abdullah (Saga Artakusiad) di Bengkel Penulisan Saifi dan Fantasi anjuran Agensi Villa Aksara (AVA), 13 Jun 2010, IYC Cheras.

Fantasy is escapism. Kenyataan ini benar bagi saya. Membesar di kawasan Sting Garden yang serba kekurangan dan daif, saya suka mencipta dunia sendiri yang lain daripada apa yang saya selalu lihat. Berangan-angan punya kawan dari dunia lain yang satu hari nanti akan membawa saya pergi daripada dunia yang serba kekurangan ini. Hahaha…bila fikir balik, gelak sendiri. Kanak-kanak berupaya melahirkan dunia fantasi mereka secara natural. Berilah pada mereka kereta mainan ataupun anak patung. Sebentar sahaja, pasti kanak-kanak itu sedang bermain di dunia fantasi rekaannya.

Berbeza dengan orang dewasa yang rata-ratanya perlu memejamkan mata bagi membayangkan sesuatu yang mustahil. Orang dewasa perlu berfikir lebih keras berbanding kanak-kanak dalam melahirkan fantasi. Sementelah, ada banyak halangan dan kekangan yang mendalangi kegagalan membina fantasi yang polos dan selamba. Persoalan logik ataupun tidak, bukan mendasari fantasi yang ingin dibina. Bebaskan fikiran yang menjerat kreativiti dan fikir secara naif dan plos seperti kanak-kanak. Sekurang-kurangnya usaha ini saya lakukan setiap kali mahu melahirkan karya fantasi seperti siri Akademi Gemilang. Cuma jangan terlalu bebas hingga menimbulkan isu sensitif dan menidakkan Yang Maha Esa.

Saya sekadar berpendapat.

Pautan fantasi:

Kongsi tips 1: Penulisan karya fiksyen sains

Apakah yang dinamakan sebagai karya fiksyen sains (FS)? Definisinya terlalu luas. Salah satunya adalah seperti petikan ini:

“Science fiction is a genre of fiction. It differs from fantasy in that, within the context of the story, its imaginary elements are largely possible within scientifically established or scientifically postulated laws of nature (though some elements in a story might still be pure imaginative speculation). Exploring the consequences of such differences is the traditional purpose of science fiction, making it a “literature of ideas”. Science fiction is largely based on writing rationally about alternative possibilities. The settings for science fiction are often contrary to known reality, but the majority of science fiction relies on a considerable degree of suspension of disbelief provided by potential scientific explanations to various fictional elements.”
Dipetik daripada Wikipedia

Ciri-ciri:

  • spekulasi berasional logik
  • ketekalan dalaman
  • kemungkinan + potensi
  • ketakjuban/pesona (sense of wonder/ the WOW effect)
  • Tema dunia FS:
  • Zaman lain
  • Dunia lain
  • Makhluk lain
  • Fikiran lain

Genre FS:

  • pascaapokalips
  • robot/kepintaran buatan
  • angkasa/kembara angkasa/opera angkasa
  • utopia/distopia
  • punk stim/punk siber
  • dunia alternatif
  • teknologi (SF hardware)
  • makhluk asing
  • FS berat/ringan/literal
  • saifai/sains fantasi
  • FS Islami
  • FS Melayu
  • FS Malaysia

Klise dalam FS Malaysia:

  • makhluk asing datang ke bumi dan bertemu watak utama bagi menyampaikan mesej kebaikan/amaran
  • watak utama ke alam lain (planet/dunia bukan Bumi)
  • mesin masa/kembara masa
  • kepintaran buatan dalam komputer yang mengajar/memberikan maklumat kepada watak utama
  • manusia bertukar menjadi raksasa (eksperimen)

Pautan mengenai rencana dan entri FS/Fantasi:
Penulisan fiksyen sains 2
Fiksyen sains atau fantasi
Fiksyen sains, fantasi
Penulisan Fiksyen Sains 1.2
___________________________________________________________________
Dipetik dan diolah daripada nota Saudara Fadli al-Akiti (Saga Horizon, Mantra, Jian) di Bengkel Penulisan Saifi dan Fantasi anjuran Agensi Villa Aksara (AVA), 13 Jun 2010, IYC Cheras.

Anakronisme

Dalam kesibukan dan kecapekan menyiapkan manuskrip terbaharu untuk KN, saya sempat membaca pantas karya terbaharu Manaf Hamzah, Dalam Dakapan Senja. Di pertengahan novel itu saya jumpa nama Dr. Assad Effendi, hero Dedaun Layu di Angin Lalu, juga karya Manaf Hamzah. Teknik meminjam atau memunculkan watak atau cameo dalam novel sebelumnya ke dalam novel yang lain, memang sering dilakukan oleh penulis ataupun penggiat filem.

Malah teknik ini menjadi kegemaran saya sekali gus menjadi trademark atau tanda dagangan dalam setiap novel yang saya hasilkan, tidak kira apa genre sekali pun. Walau bagaimanapun, teknik ini perlu digunakan secara berhati-hati kerana melibatkan unsur anakronisme.

Anakronisme bermaksud meletakkan sesuatu pada latar tempat ataupun zaman yang salah. Contohnya, drama Tun Perak lakonan Jalaludin Hassan yang pernah disiarkan di kaca TV pada abad yang lepas. Dalam satu babak, tiang elektrik kelihatan. Masa zaman Tun Perak mana ada tenaga elektrik lagi. Kekeke…. Ini salah satu contoh unsur anakronisme yang wujud.

Jadi, bagaimana hendak menggunakan teknik cameo tanpa melanggar hukum anakronisme? Mudah saja. Tidak perlu sebut apa-apa perkara yang menggambarkan keadaan semasa anda menulis novel berkenaan. Contohnya, KLCC, KLIA, LCCT, model telefon bimbit, model kereta, nama pemimpin dan seumpama dengannya. Satu cara lagi ialah menidakkan realiti. Jika terdapat unsur anakronisme dalam novel, berpura-pura menyatakan yang novel ini sekadar fiksyen, dunia khayalan yang tidak wujud, macam cerita kartun….

Sungguhpun begitu, cara mengelak yang kedua itu nampak macam tak profesional. Kalau boleh saya mahu menghasilkan novel yang selari dengan hukum waktu dan tempat. Tapi kadang-kadang terlepas pandang juga sebab terlalu teruja…ngeh ngeh ngeh.

Okey, cukup setakat ini pengajaran subjek sastera. Saya nak sambung menulis kesinambungan DMPB. Tajuknya? Biarlah rahsia dahulu….