Perancangan 2013

564493_551105131583992_388656942_nTahun 2011 telah mencatat satu pengalaman kurang enak dalam sejarah hidup saya. Namun pengalaman kurang enak itulah yang telah mendewasakan saya dan mengajar saya erti kepercayaan. Satu pengajaran berharga yang saya peroleh ialah jangan terkejut kalau orang yang anda sanjungi keILMUANnya dan keALIMannya sebenarnya musang berbulu ayam.

Penghujung 2011, saya ditemukan pula dengan sekumpulan anak muda yang berhati waja. Mereka rakan sekerja saya yang baharu. Menerusi mereka, saya belajar suatu pengalaman hidup yang serba baharu. Seolah-olah saya melangkah ke alam yang lain yang tak pernah saya jejaki selama ini. Berkawan dengan orang yang lebih muda daripada kita, menjadikan kita terasa seperti muda juga…hahaha. Pengalaman bersama mereka akan saya abadikan dalam sebuah novel yang sedang saya usahakan.

Berakhirnya 2012 menjadikan saya agak semput kerana momentum penulisan saya agak lembab. Jika dulu saya mampu menerbitkan sehingga tiga novel setahun, kini nak terbit satu pun dah mencungap. Saya benar-benar perlu mengejar semula momentum yang hilang gara-gara 2011. Tahun 2012, nyaris-nyaris saya tak tertinggal untuk menerbitkan satu novel jika tak kerana ‘dikejar’ oleh sang editor yang budiman.

Tolong Pikat Hatinya (novel ke-13), sebenarnya masih 80% siap ketika dilamar. Saya diberikan masa selama dua minggu untuk menyudahkannya. Entahlah…kadang-kadang apabila didesak menyiapkan sesuatu dalam masa yang singkat, terus menjadi. Mungkin sebab itu perlu ada deadline (err…saya dah berapa kali terlanggar deadline terutama untuk penulisan novel remaja. tak ada sesiapa nak gertak saya ke? hehehe)

Untuk tahun 2013 ni, saya merancang menerbitkan satu novel cinta (di bawah Alaf21), akan sedaya upaya (berapa kali nak janji ni?) menyiapkan satu novel remaja (untuk PTS, itu pun kalau mereka masih mahu saya…ahahah) dan nak terbitkan Vampira, karya fantasi yang akan diterbitkan di bawah imprint saya sendiri (MEP).

Di samping itu, saya juga dalam proses menerbitkan semula tiga novel awal saya bersama Kaki Novel, iaitu Dan Mimpi Pun Bersatu, Kerana Dia Cinta dan Kasih Pun Bersatu, dalam bentuk E-BOOK. Saya telah mendapat semula hak cipta dan hak penerbitan daripada pihak KN. Baki stok novel-novel ini masih ada pada KN dan juga pengedarnya, Fajar Pakeer. Hanya selepas semua naskhah itu habis dijual, barulah saya akan mempertimbangkan sama ada mahu menerbitkannya dalam bentuk fizikal.

Moga 2013 menjanjikan seribu barakah kepada kita semua dan moga kita hidup dalam keadaan aman dan damai. Moga dijauhkan daripada bala bencana. Amin.

Advertisements

Legenda Dhiyapura

lagenda dhiyapuraJika kisah lagenda, selalunya bersiri, sama ada dwilogi ataupun trilogi ataupun mungkin lebih. Semasa mula menulis …dan Mimpi Pun Bersatu, tidak pernah tergambar di fikiran saya mahu menyambung kisah ini. Apabila siap sahaja manuskrip pertama, barulah timbul idea untuk menyambung kisah ini. Hasilnya, terbitlah Kasih Pun Bersatu. Sewaktu buku kedua disiapkan, tiada langsung usaha hendak menyambungnya ke buku yang ketiga. Kini, sesudah keedua-dua buku terbit, muncul idea (dan mengambil beberapa cadangan dan permintaan pembaca), kisah raja-raja Dhiyapura ini akan disambung menjadi trilogi.

Maka sebab itu, saya memanggilnya Lagenda Dhiyapura. Buat masa ini, buku yang ketiga masih dalam rangka kerja, susunan plot serta pembinaan watak. Masih lagi di peringkat awal dan banyak kajian perlu dijalankan.

Siapa watak utamanya kali ini? Kenalah tunggu, ya.

My Sweetheart

DSC01072Setiap penulis pasti ada koleksi kegemaran penulisan yang mereka hasilkan. Yang istimewa tentulah yang memberikan kenangan manis. Bagi saya, setiap karya yang saya hasilkan mempunyai kenangan manis yang tersendiri sewaktu proses penulisannya.

Dua buah karya yang paling saya sayangi ialah Dan Mimpi Pun Bersatu dan Kasih Pun Bersatu. Saya amat menggemari kedua-dua buah karya yang saya anggap sebagai ‘buah hati’. Selain dua buah karya ini, Kerana Dia Cinta dan nopen Cinta Terakhir I (Biarlah Kusendiri), Cinta Terakhir II, Cupido I, II dan III (kesemuanya daripada kompilasi nopen Kasih Yang Tak Pasti) juga merupakan kegemaran saya.

Kini saya sedang menyudahkan kesinambungan Kerana Dia Cinta. Ia bukan seperti kesinambungan antara Dan Mimpi Pun Bersatu dan Kasih Pun Bersatu. Saya menggelarnya Projek PRS. Projek ini lebih kepada kisah lanjutan salah seorang watak utama dalam Kerana Dia Cinta. Kalau anda merasakan Projek PRS ialah sambungan Kerana Dia Cinta, anda ternyata silap. Projek PRS merupakan karya baharu yang meminjam watak daripada Kerana Dia Cinta.

Berbalik kepada tajuk entri saya, siapa pula Sweetheart anda?