Jangan cemari novel cinta oleh Zainal Abdul Kadir

20130129_205541RENCANA tulisan Wahba yang disiarkan pada 13 Januari mendapat reaksi Rozais Al-Anamy pada 20 Januari, kedua-duanya dalam Mingguan Malaysia telah mencetuskan polemik yang menarik untuk diperbincangkan.

Dari sudut materialistik, sesiapa pun pasti terdorong apabila royalti hasil penulisan buku mampu membeli kondominium dan kereta mewah. Secara tidak langsung semangat hendak menulis sentiasa membara kerana ganjaran yang diperoleh mampu menampung keperluan kehidupan.

Melihat kepada perkembangan yang memberangsangkan ini, Wahba mencadangkan bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) patut memasukkan kategori hadiah novel terlaris pada setiap kali Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) diadakan. DBP patut memikirkan perkara ini supaya penulis wanita itu diberikan penghargaan walaupun mereka telah menikmati hasil penulisan yang lumayan.

Namun Rozais Al-Anamy menyanggah cadangan Wahba dengan menyatakan apalah ertinya kita mempunyai berpuluh novel yang mencatatkan jualan ratusan ribu naskhah tetapi pada yang sama industri perbukuan kita hanya gah dengan karya yang kosong dari segi wacana dan pemikiran?

Malah dengan nada tegas Rozais menyatakan beliau mengkelaskan sebahagian besar novel cinta yang banyak di pasaran sebagai karya picisan yang tidak menyumbang kepada pembangunan pemikiran golongan pembaca. Kenyataan ini sama dengan tulisan Wahba yang menyatakan bahawa kalangan sasterawan mungkin menganggap novel cinta sebagai buku picisan yang kurang wajar diberi perhatian. Mungkin mereka menganggap ini tidak termasuk dalam kategori sastera yang patut dikembangkan dan diberi perhatian.

Jika dikaitkan dengan industri perbukuan, sebagai contoh, Abdul Latip Talib adalah penerima royalti tertinggi bagi penerbit PTS pada tahun 2011. Namanya berada pada kedudukan nombor satu antara 100 penulis yang disenaraikan. Umum mengetahui Abdul Latip Talib adalah penulis novel sejarah berdasarkan tokoh pahlawan Melayu dan Islam. Justeru, apakah novel cinta sahaja yang boleh memberi keuntungan kepada penerbit buku?

Begitu juga dengan penulis buku motivasi. Banyak buku motivasi yang diulang cetak berulang kali dalam waktu yang singkat. Menurut laporan yang dikeluarkan di kedai-kedai buku, cetakan buku motivasi adalah antara kategori buku yang laris jualannya. Itu belum lagi dengan buku-buku agama yang sentiasa diulang cetak kerana tajuk-tajuk buku agama ini mampu menarik pembaca. Terdapat buku-buku agama yang diulang cetak beberapa kali dalam tempoh enam bulan.

Sehubungan itu, industri perbukuan bukan hanya bergantung kepada buku novel cinta semata-mata tetapi genre lain juga turut menyumbangkan keuntungan yang berlipat kali ganda kepada penerbit buku.

Justeru, wajarkah cadangan Wahba dipertimbangkan kerana sumbangan novel cinta dalam industri perbukuan? Apakah HSPM mahu disamakan dengan anugerah buku popular yang dianjurkan setiap tahun? Dan buku yang dicalonkan adalah buku yang terlaris jualannya. Manakala buku yang menang adalah buku yang dipilih oleh pembaca berdasarkan undian SMS.

Anugerah HSPM merupakan hadiah paling berprestij untuk penulis di Malaysia sejak diwujudkan tahun 1971. Anugerah ini menyamai Anugerah SEA Write Award di peringkat Asia dan Hadiah Nobel dalam kesusasteraan di peringkat antarabangsa. Karya-karya yang menang adalah karya-karya yang dinilai oleh panel-panel yang berwibawa yang dilantik badan bertauliah yang mengelola HSPM. Apakah HSPM ini mahu dicemari dengan anugerah kategori baharu novel cinta yang terlaris jualannya dalam kalangan pembaca?

Jika dikaitkan pula dengan kenyataan Rozais Al-Anamy, ada kewajarannya novel cinta tidak menyumbang kepada pembangunan pemikiran golongan pembaca. Tema-tema yang dipaparkan berkisar kisah hubungan terlarang seperti cinta dengan suami orang, mengandung anak luar nikah, isteri curang, dan pelbagai lagi yang bertentangan dengan adat susila dan agama.

Namun begitu tidak dapat dinafikan terdapat penerbit yang cenderung menerbit novel yang berciri Islam. Mereka menetapkan dan memberi garis panduan kepada penulis bahawa setiap novel yang ingin ditulis harus menerapkan nilai-nilai murni seperti yang dikehendaki oleh sistem pendidikan negara dan agama khususnya agama Islam. Kecenderungan ini harus dipuji dan wajar diikuti oleh penerbit yang sealiran supaya dapat menjana dan menyumbang kepada pembangunan pemikiran golongan pembaca. Secara tidak langsung dapat menyumbang bahan bacaan kepada golongan pelajar dalam Komponen Sastera (Komsas) yang dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran.

Ini amat menyokong pendapat Rozais Al-Anamy iaitu sekiranya karya itu membawa pemikiran besar, bertemakan cinta sekalipun tidak mustahil menjadi karya besar dan memberi manfaat. Malah tekan Rozais lagi, malangnya novel cinta kita jauh daripada menitipkan kesedaran dalam lingkungan hidup beragama.

Sehubungan itu, usaha Kumpulan Utusan mewujudkan kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) adalah tepat. Ini kerana panel hakim dapat menilai dan memilih novel yang tidak terkeluar dari landasan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Seperti yang dinyatakan oleh Rozais, novel Deru Angin karya Hafizah Iszahanid adalah contoh novel cinta yang hebat yang boleh menyumbang kepada pembangunan pemikiran golongan pembaca.

Berpandukan hujah Rozais Al-Anamy, novel cinta tidak seharusnya dicemari hanya kerana ingin melariskan jualannya. Memang tidak dapat dinafikan, penerbit buku menginginkan keuntungan apabila menjual produk kerana modal menerbit dan mencetak buku memerlukan kos yang bukan sedikit. Namun terdapat penerbit yang merangka strategi penerbitan dan pemasaran novel cinta yang menerapkan nilai-nilai murni dan buku novel cinta ini laris di pasaran.

Bersandarkan huraian di atas, memasukkan kategori hadiah novel terlaris dalam HSPM adalah merupakan satu kesilapan besar kerana ia akan mengubah persepsi masyarakat bahawa sastera berkualiti boleh dipilih sendiri oleh masyarakat melalui kuasa membeli dan mengundi seperti yang berlaku kepada pemilihan artis popular yang diadakan sepanjang tahun. Sedangkan hakikatnya kualiti buku tersebut boleh menjatuhkan maruah kesusasteraan Malaysia khususnya kesusasteraan Melayu. Maka tidak hairanlah nanti, matlamat menulis lebih terarah kepada keuntungan yang berlipat ganda kerana mampu menampung keperluan dan kemewahan dalam hidup.

Kesimpulannya, menulis novel cinta tidak salah kerana tema cinta telah diangkat oleh penulis seantero dunia sejak zaman berzaman hingga kini. Dan tidak dinafikan dengan cintalah seseorang itu terdorong menghasilkan karya kerana cinta telah membuatkannya melahirkan bahasa yang indah-indah. Tetapi novel cinta yang tersasar dari landasan amatlah tidak wajar kerana ia memberi impak besar kepada pembangunan pemikiran bangsa dan negara.

 

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130127/sa_02/Jangan-cemari-novel-cinta#.UQe-btG6im4.facebook#ixzz2JN0rkuPY
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isunya bukan novel cinta oleh Rozais Al-Anamy

DALAM Mingguan Malaysia 13 Januari lalu, Wahba telah menyarankan supaya penulis novel cinta diberi hadiah atau penghargaan sama seperti karya sastera lain di negara ini. Hujah Wahba, karya yang berupa novel cinta telah menghidupkan tabiat membaca dalam kalangan masyarakat apabila novel berkenaan mencatatkan jualan hingga 600 ribu untuk satu judul.

Menurut Wahba, penulis yang menghasilkan novel serius, tinggi nilai estetika sastera dan ada pemikiran besar tidak mendapat sambutan di pasaran. Lalu hujah Wahba, apabila sesebuah karya itu tidak mendapat sambutan di pasaran dengan sendirinya karya itu tidak sampai kepada masyarakat.

Di negara ini penjualan buku atau novel yang menuntut pembaca berfikir memang tidak mendapat sambutan, malah buku karya Sasterawan Negara pun tidak mendapat perhatian dalam kalangan pembaca. Justeru itulah Wahba menganggap anugerah kepada penulis novel cinta sebagai penghargaan usaha mereka menarik golongan pembaca.

Salah satu caranya ialah dengan menyelitkan anugerah kepada penulis novel cinta dalam anugerah bertaraf nasional seperti Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) atau mewujudkan satu anugerah lain yang khusus kepada novel bertemakan cinta.

Saya fikir terdapat sedikit kekeliruan dalam saranan ini. Dengan cadangan ini, Wahba seolah-olah menyempitkan dunia kesusasteraan kepada dunia perbukuan, di mana terdapat pengkelasan kepada buku. Sebenarnya apa yang menjadi isu ialah isi kandungan novel, bukannya genre novel tersebut. Dalam membicarakan kualiti karya, persoalan genre sepatutnya tidak menjadi isu. Sekiranya karya itu membawa pemikiran besar, bertemakan cinta sekalipun tidak mustahil menjadi menjadi karya besar dan memberi manfaat.

Selama ini, karya yang dinilai untuk diberi anugerah adalah berpandukan kualiti, bukan kerana genre novel tersebut. Sekiranya sebuah karya itu berkualiti dan memenuhi kriteria pemilihan, ia layak diangkat tanpa mengira ia dari genre mana sekalipun. Jadi, kalau tidak ada novel cinta remaja yang diberi anugerah dalam HSPM misalnya bukanlah kerana genre tetapi tahap kualiti yang rendah. Menggesa karya murahan seperti ini diberi anugerah dengan alasan laris di pasaran amatlah memalukan dunia kesusasteraan tanah air. Ini seolah-olah kita mengiktiraf karya yang tidak memberi sumbangan kepada bangsa daripada sudut isi kandungannya.

Sebuah karya cinta remaja boleh sahaja diberi anugerah seandainya ia membawa wacana dan pemikiran ke arah peradaban bangsa. Sebaliknya sebuah karya dewasa mungkin sahaja bertaraf novel picisan jika kandungannya semata-mata berkisar tentang cinta murahan. Kita tidak menafikan bahawa ada novel cinta yang hebat walaupun tidak mencatatkan jualan beratus ribu naskhah. Salah satu daripadanya ialah Deru Angin karya Hafizah Iszahanid yang dipilih sebagai pemenang utama kategori novel remaja Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) 2011 yang lalu.

Deru Angin adalah sebuah novel yang mengambil tema cinta untuk menggerakkan cerita yang sarat pemikiran dan perbahasan budaya serta agama. Cinta hanyalah penggerak kepada novel ini tetapi bukan tujuan utama penghasilan karya ini. Ini membuktikan bahawa yang membezakan antara novel cinta atau genre apa sahaja adalah tahap kualitinya. Pemikiran dan idealisme yang dibina oleh penulis Deru Angin tidak banyak dalam novel cinta yang laris di pasaran. Adunan inilah yang seharusnya dituangkan dalam penghasilan karya kita, supaya hasil yang dinikmati bukan hanya hidangan untuk mengenyangkan pembaca, tetapi berkhasiat untuk santapan minda dan rohani.

Kita tidak mahu penulis hanya sekadar bercerita dengan siratan plot yang sangat dramatik tetapi kosong isinya. Novel begini tidak lebih sebagai ruang eskapisme dari realiti hidup dengan menumpang fantasi sosial yang dibina oleh penulis.

Melihat kepada banyaknya jumlah judul novel cinta remaja di pasaran, kita boleh membuat kesimpulan bahawa sebahagian besar kalangan penulis novel ini hanya mempunyai kebolehan bercerita. Tetapi kita tidak sahaja memerlukan cerita atau memindahkan realiti ke dalam novel. Yang kita perlukan daripada karya begini adalah pemikiran atau wacana. Tetapi mereka tidak ada pemikiran.

Biarpun ramai yang merasakan dalam sebuah novel cinta khususnya novel cinta remaja banyak terselit pengajaran dan nilai-nilai murni yang boleh diambil panduan, tapi saya yakin kesannya tidaklah dominan berbanding hasrat komersial untuk mengaut keuntungan. Novel cinta yang tidak diselitkan dengan unsur romantis, keghairahan perasaan lelaki perempuan, atau bahasa yang membungakan perasaan tidak mungkin mendapat sambutan. Ramai yang membaca kisah cinta ini untuk menikmati dan menyelami ‘keindahan rasa’ watak teruna dara yang bercinta dalam novel tersebut, bukannya kerana gagasan untuk meningkatkan kualiti peribadi dan memperkukuhkan diri sebagai individu dalam masyarakat.

Satu hakikat yang terpaksa kita terima ialah sebahagian besar novel bertemakan cinta bukan sahaja tidak ada nilai sastera, dari segi bahasa misalnya malah mengemukakan kitar semula daripada novel sebelumnya. Novel begini tidak lebih membawa cerita kepada pembaca tetapi sedikit pun tidak ada wacana. Dalam karya seni termasuk sastera, cerita tidak lebih sebagai alat untuk membawa wacana. Kalau tidak ada wacana tidak ada maknanya. Inilah yang kita dapati daripada contoh novel yang disenarai oleh Wahba supaya diberi penghargaan.

Memang benar novel cinta menyumbang kepada industri perbukuan negara ini iaitu memberi keuntungan kepada penerbit dan royalti lumayan kepada penulis. Tetapi kepentingan karya yang baik kepada masyarakat bukanlah kerana karya itu menjadi penggerak industri perbukuan. Tentulah sumbangan sesebuah karya termasuk novel cinta wajar diukur nilai pemikirannya. Apalah ertinya kita mempunyai berpuluh novel yang mencatatkan jualan ratusan ribu naskhah tetapi pada masa yang sama industri perbukuan kita hanya gah dengan karya yang kosong dari segi wacana dan pemikiran?

Saya mengkelaskan sebahagian besar novel cinta yang banyak di pasaran sebagai karya picisan yang tidak menyumbang kepada pembangunan pemikiran golongan pembaca. Harus difahami bahawa karya yang membawa pemikiran besar bukanlah suatu yang tidak boleh difahami oleh pembaca, sementara karya yang bernilai rendah bukan sahaja yang bercorak cinta. Sasterawan dan ulama Indonesia, Hamka pernah menghasilkan novel cinta, Tenggelamnya Kapal van der Wijck, Khadijah Hashim dengan Badai Semalam atau Aziz Afkar dengan Hartini. Tetapi karya ini tidaklah sama dengan sebahagian besar novel cinta sekarang ini.

Penulis muda Indonesia, Habiburrahman misalnya menerusi novel cintanya, Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih menghasilkan karya yang membawa pemikiran, setidak-tidaknya menerapkan nilai yang dekat dengan Islam. Saya tidak mengkelaskan karya-karya Habiburrahman sebagai sastera Islam. Tetapi tanpa label sastera Islam sekalipun novel-novel ini membawa satu kerangka pemikiran yang menjurus kepada Islam, suatu yang boleh membina pemikiran pembaca. Maknanya karya begini ada wacananya. Tidak perlu mencapai tahap sastera Islam baru hendak menyusupkan pemikiran yang menjurus kepada agama dan pekerti yang baik. Malangnya novel cinta kita jauh daripada menitipkan kesedaran dalam lingkungan hidup beragama.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130120/sa_02/Isunya-bukan-novel-cinta#.UQe-ouE9lwA.facebook#ixzz2JMy2AC4e

© Utusan Melayu (M) Bhd

Penghargaan pada novel cinta oleh WAHBA

20130129_210106SEJAK beberapa tahu tahun lalu, novel cinta yang diterbitkan oleh berbagai penerbitan mendapat pasaran hebat terutama daripada dalam kalangan remaja perempuan. Novel cinta yang laris kebanyakannya dihasilkan oleh penulis wanita yang berumur antara 20 hingga 35 tahun. Kebanyakan novel yang dihasilkan tebal antara 500 hingga 1000 halaman.

Penulis wanita yang masih muda ini kebanyakannya mempunyai tenaga dan daya pemikiran yang segar. Mereka sanggup berjaga malam untuk menyiapkan sesebuah novel dan ini patut diberi pujian.

Mereka menulis berdasarkan pengalaman yang dilalui yang bersamaan pula dengan yang dilalui oleh pembaca. Pertautan pengalaman menyebabkan novel itu laris kerana kisahnya dekat di hati pembaca.

Ini bertepatan dengan kata pengarang Indonesia B.Simorangkir Simanjuntak dalam Kesusasteraan Indonesia bahawa “Kesusasteraan adalah cermin jiwa, getaran sukma pengarang, kesusasteraan harus tumbuh di tengah rakyat oleh rakyat untuk rakyat yang menggambarkan suka duka, harap cipta dan kerja cipta rakyat.”

Seorang lagi pengarang Indonesia melalui bukunya Punca Sastera Indonesia, menegaskan “Kesusasteraan adalah manifestasi daripada gerak kerja jiwa manusia yang wujud dalam pernyataan bahasa. Pada hakikatnya kesusasteraan atau seni sastera itu Ialah bingkisan kata yang dipersembahkan oleh sasterawan sebagai hadiah kepada masyarakat.”

Berdasarkan kenyataan ini novel cinta boleh dianggap termasuk dalam kategori sastera walaupun bagi setengah orang ini lebih kepada sastera popular mainan para remaja. Namun begitu sastera popular ini mendapat sambutan hebat dalam kalangan pembaca. Sastera serius yang penuh nilai estetika ternyata tidak mendapat sambutan kerana nilainya hanya difahami oleh segelintir sahaja dan bukan masyarakat biasa.

Pelbagai novel yang hasilkan berligar kehidupan cinta para remaja, alam berumah tangga dan lain-lain. Novel Ombak Rindu karya Fauziah Asyaari umpamanya berjaya mencetus fenomena apabila ia mendapat sambutan hebat dalam kalangan pembaca tua dan muda.

Apabila diadaptasi menjadi filem maka kelarisan novel itu meningkat sehingga puluhan ribu naskah. Novel-novel lain yang dijadikan drama termasuk Adam dan Hawa karya Aisya Sofea dan siri Trilogi Cinta 1 dan 2 karya Sharifah Abu Salem.

Antara novel kisah cinta yang laris pada tahun 2012 ialah Isteri Sepenuh Masa, Sebenarnya Saya Isteri Dia, Maaf jika Aku Tak Sempurna, Jodoh itu Milik Kita, Dia Segalanya, Kasih Antara Kita, Kan ku Cinta Mu, Lafazkan Kalimah Cinta Mu, Suamiku Ustaz, Kejora Di Langit Cinta, Seindah Sakura, Love You Mr Arrogant dan banyak lagi.

Tahun 2011, lima novel yang dicatatkan mendapat sambutan hebat ialah Akhirnya Aku Miliki karya Hanna Dania, Cinta Kontrak (Nurul Ain Syuhada), Uda dan Dara (Aisya Sofea), Yes Bos (Rosmizah). Selain novel-novel ini banyak lagi novel lain yang mencatat jualan yang tinggi.

Antara novelis wanita yang novelnya berjaya dijual sehingga ratusan ribu ialah Ain Maisarah, Sharifah Abu Salem, Aisya Sofea, Anis Ayani, Damya Hanna, Dhiya Zafira, Shahriah Abdullah dan Siti Rosmizah.

Ain Maisarah umpamanya telah menghasilkan 33 buah novel dan novelnya berjaya dijual sehingga 200 hingga 500 ribu naskah, Fauziah Asyari pula menghasilkan tujuh buah novel berjaya dijual sehingga lebih 500 ribu naskah, Aisya Sofea pula menghasilkan sembilan novel dan berjaya dijual sehingga 600 ribu naskah, Anis Ayani menghasilkan sembilan novel dan novelnya berjaya dijual sehingga 600 ribu naskah.

Ada novelnya yang dicetak sehingga lapan kali, Damya Hanna berjaya menghasilkan lapan novel dan berjaya dijual sehingga 500 ribu. Ada novelnya diulang cetak sehingga 18 kali.

Kelahiran penulis-penulis wanita yang menghasilkan novel cinta ini merupakan satu fenomena yang perlu diberi perhatian. Ia berjaya memecah tembok kelarisan buku di Malaysia.

Selama ini kita mendengar novel-novel serius yang dihasilkan oleh penulis terkenal tidak laris di pasaran. Pembaca tidak membelinya kerana kurang faham atau cerita yang dipaparkan jauh daripada hati mereka.

Dalam kalangan penulis wanita itu terdapat juga beberapa orang penulis lelaki yang mencebur diri dalam genre novel cinta antara yang berjaya ialah Ramlee Awang Murshid yang telah berjaya menghasilkan 16 buah novel dan novel-novelnya dikatakan berjaya dijual sehingga 500 ribu naskah lebih.

Di Indonesia pun ada novel cinta dan mendapat pasaran meluas. Menurut sumber, ada sepuluh novel cinta berunsur Islamik yang mendapat sambutan hangat antaranya karya penulis Habiburrahman el Shirazy dengan novel-novel seperti Ayat-Ayat Cinta, Dalam Mihrab Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Cinta Berbunga Syurga, dan Di Atas Sejadah Cinta.

Penulis Indonesia lain yang buku mereka mendapat sambutan hangat termasuklah Taufigrahman Al Azizi dan Abidah el Khaliegy. Taufig umpanya menghasilkan novel Musafir Cinta, Shahadat Cinta, Munajat Cinta dan Makrifat Cinta manakala Abidah pula menghasilkan Perempuan Berkalong Sorban.

Malang sekali novel serius yang berestetika tinggi tidak digemari pembaca, hendak dijual tiga ribu naskah pun terpaksa mengambil masa sehingga tiga hingga lima tahun.

Berbanding dengan novel cinta, dalam setahun sudah puluhan ribu dapat dijual. Dan penulis berjaya memperoleh royalti yang lumayan. Ada penulis novel cinta yang berjaya membeli kondominium dan kereta mewah hasil royalti novel cinta.

Kalangan sasterawan mungkin menganggap novel cinta sebagai buku picisan yang kurang wajar diberi perhatian. Mungkin mereka menganggap ini tidak termasuk dalam kategori sastera yang patut dikembangkan dan diberi perhatian. Tetapi masyarakat ternyata meminati karya seperti ini.

Mungkin ada yang menganggap sasterawan menulis bukan kerana duit. Ia lebih bertujuan kepada hendak memperkembangkan sastera di kalangan pembaca. Tetapi kalau novel serius yang dihasilkan tidak mendapat sambutan bagaimanakah sastera hendak dikembangkan dalam kalangan masyarakat. Bukankah kita menjadi penulis syok sendiri dan mendapat habuan lebih apabila buku kita memenangi hadiah sastera dan lain-lain.

Tanpa hiruk pikuk dan hadiah-hadiah sastera, penulis wanita yang bilangannya beratus orang kini sedang bergerak menghasilkan novel-novel yang terlaris dalam kalangan pembaca. Kejayaan mereka patut diberi perhatian.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) patut memasukkan kategori hadiah novel terlaris pada setiap kali Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) diadakan . DBP patut memikirkan perkara ini supaya penulis-penulis wanita itu diberikan penghargaan walaupun mereka telah menikmati hasil penulisan yang lumayan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sastera/20130113/sa_02/Penghargaan-pada-novel-cinta#.UQe_Do-EJfw.facebook#ixzz2JMundwHx

© Utusan Melayu (M) Bhd