Gila Gila Cinta

1969308_867918469908895_7119417136743308665_n

Advertisements

Cinta Kita Gila #1

Dah bersawang blog ni. Jadi saya nak meriahkan lagi dengan pengisian novel terbaharu saya yang berjudul Cinta Kita Gila. Tajuk asalnya ialah Cinta Bukan Ilusi.

Ini versi belum edit.


 

pizap.com14031680904611“Rys…tengah hari ni meeting dengan Tan Sri. Proposal dah siap ke?” Walin menjengukkan diri ke dalam bilik Eryssa

“Dah. Harry pun dah semak.” Eryssa masih tunduk menatap planner dan membelek kalendar.

“Dah tu…kenapa aku tengok kau cemas aje ni? Asyik duk belek-belek slaid sejak tadi lagi.” Walin sudah berpeluk tubuh memandang Eryssa.

Eryssa melepaskan keluhan berat. “Tan Sri orang yang cerewet. Sangat! Aku takut dia tolak mentah-mentah proposal ni nanti. Bukannya senang nak dapatkan appoinment dengan dia.” Eryssa mengurut pelipis kepalanya.

“Berapa ramai yang fight untuk projek ni?” Hendak menenangkan gundah di hati Eryssa, memang dia tidak pandai. Tetapi kalau bertanya, dia memang handal.

“Dua aje yang shortlisted. Production yang satu lagi tu dah present. Sekarang giliran kita pula. Mana tak cuak!” Tidak pernah Eryssa rasa perasaan bimbang sebegitu. Selalunya dia tenang-tenang sahaja.

“Emm…aku tak jadi ikut. Kau dengan Harry aje pergi. Aku ada appoinment dengan Hastro.” Walin kembali menyentuh topik utama dia berjumpa dengan Eryssa. Tidak sangka jauh pula perbualan mereka menyimpang.

“DAH sedia?” Harry terjengul di bilik Eryssa tengah hari itu.

“Dah.” Eryssa sudah siap menyarung kot putih ke tubuh yang sama warna dengan seluarnya. Di bawah kot, dia memakai blaus belang menegak berwarna merah hati yang sepadan dengan beg tangan. Sambil menyandang beg tangan, dia membawa beg laptop untuk business presentation sebentar lagi.

“Meeting venue dah tukar,” beritahu Harry ketika mereka masuk ke dalam kereta lelaki itu.

“Kat mana?” Jantung Eryssa berdebar-debar tiba-tiba. Adakah itu petanda tidak baik?

“Pulau Indah. Atas Princess Jawahir.”

“Atas kapal?” Terkejut beruk Eryssa mendengarnya.

“Ya. Kenapa? You mabuk laut?” Harry menjeling sekilas ke arah Eryssa sebelum menumpukan perhatian kepada jalan raya.

“Tak…tapi…wow….” Tidak dapat Eryssa hendak menggambarkan perasaannya ketika itu. Dia belum pernah menaiki kapal persiaran. Kapal terbang memang sudah biasa. Hilang sekejap gundah di jiwa.

Harry sudah tergelak. Kini tahulah dia bagamana hendak menarik perhatian Eryssa. “Nanti I proposed kat bos supaya adakan company retreat kita atas kapal.”

“Menarik tu!” Eryssa sudah teruja. Dia memang sukakan bayu laut yang menyegarkan.

BOT persiaran Princess Jawahir, walau tidak sebesar kapal persiaran mewah, ia tetap cantik dan selesa. Deknya luas hingga boleh memuatkan set sofa separa bulat yang sesuai dijadikan tempat bersantai mahupun tempat berbincang mengenai bisnes. Ketibaan mereka disambut oleh Tan Sri Haiqal sendiri. Perbincangan perniagaan terus dimulakan. Kata Tan Sri Haiqal, dia tidak mahu membuang masa. Dan Eryssa juga turut sama tidak mahu membuang masa sesiapa.

“Dokumentari 12 episod ni akan dikendalikan oleh produksi kami sendiri. Penerbitnya Cik Walin.” Eryssa menghulurkan sebuah fail nipis kepada Tan Sri Haiqal. Fail itu disambut dan diselak sekali lalu sebelum diserahkan kepada pembantu khas yang sentiasa bersedia di sisinya.

Seterusnya Eryssa menunjukkan slaid demi slaid contoh storyboard untuk dokumentari yang bakal ditaja oleh syarikat Tan Sri Haiqal. Eryssa begitu bersungguh-sungguh dan amat profesional ketika itu. Harry berasa bangga dengan kelancaran bicara dan tutur kata Eryssa yang bagaikan tersusun seperti membaca skrip. Sebagai ketua, tidak pernah pun dia meragui kemampuan Eryssa untuk membentangkan mana-mana proposal kepada pelanggan mereka. Tujuan sebenar dia menemani Eryssa hari itu adalah semata-mata mahu meluangkan masa berdua-duaan bersama gadis itu.

“I setuju. Cuma ada beberapa maklumat yang perlu dikemaskinikan daripada skrip yang you berikan tempoh hari. Selepas you buat kemas kini, episod pertama dokumentari ni dah boleh dimulakan penggambarannya.”

Bulat mata Eryssa memandang Tan Sri Haiqal sebelum dia menoleh dan tersenyum lebar kepada Harry. Tan Sri Haiqal menerima proposal mereka tanpa sebarang bantahan. Bagaikan mimpi. Perkara ini belum pernah lagi berlaku kepada dirinya. Seringkali rundingan seperti ini akan berjalan sekurang-kurangnya tiga pusingan sebelum kata putus dibuat. Wah…ini sesuatu yang patut diraikan.

“Terima kasih Tan Sri sebab berikan peluang kepada stesen kami untuk menerbitkan dokumentari ni,” ucap Eryssa. Perasaan gembiranya tertahan-tahan.

Tan Sri Haiqal tersenyum. “I berpuas hati dengan skrip dan proposal yang you berikan. Sebab itu I tak perlu fikir panjang. Moga kita bertemu lagi.” Lelaki itu menghulurkan tangannya untuk bersalaman.

Eryssa kaget seketika. Seingatnya tadi, Tan Sri Haiqal hanya berjabat tangan dengan Harry. Kenapa pula tiba-tiba dia mahu bersalaman dengan Eryssa? Disebabkan tidak mahu memalukan Tan Sri Haiqal di hadapan semua orang, Eryssa terpaksa menyambut tangan lelaki itu. Lama barulah tangannya dilepaskan. Eryssa mula rasa lain macam. Tetapi segera dibuangnya jauh-jauh perasaan yang tidak enak yang tiba-tiba menyapa. Ah…mungkin dia membayangkan yang bukan-bukan.

“Syabas, Rys. I kagum dengan kebolehan you.” Harry juga turut sama berkongsi perasaan gembira. Mereka berjalan beriringan meninggalkan marina bot persiaran. “Tan Sri bukan seorang yang senang untuk dipuaskan. Cita rasanya tinggi. Cerewet. I sebenarnya takut tadi. Tapi ternyata I silap. You dah berjaya yakinkan dia dengan begitu mudah dan cepat! Kita perlu raikan kejayaan ini. Jom…I belanja you makan.”

“Bukan you sorang saja yang takut. I lagi cuak sejak pagi tadi lagi. Sampai tak lalu nak breakfast. Jomlah. I pun tengah lapar ni.” Barulah senang Eryssa hendak mengukir senyuman lebar. Lapang sungguh dadanya. Ternyata perasaan tidak sedap hati yang dirasainya tadi hanyalah mainan perasaan. Sepatutnya dia tidak perlu berasa risau keterlaluan. Mujur perasaan itu tidak mengganggu kelancaran penyampaiannya tadi.

TAN SRI HAIQAL memerhati langkah Eryssa dan Harry hingga kelibat mereka hilang di dalam bangunan yang menempatkan sebuah cafe dan pejabat urusan marina.

“Jasmina, dapatkan I butiran peribadi Cik Eryssa.” Dia memberikan arahan kepada pembantu khasnya.

“Baik, Tan Sri.” Jasmina menekan komputer tablet di tangannya memasukkan butiran tugas yang baru diberikan.

“Masukkan nama dia sebagai tetamu kehormat I semasa majlis ulang tahun Malcel nanti.” Sekali lagi Jasmina mengangguk.

Sudah lama Tan Sri Haiqal tidak merasakan perasaan itu. Perasaan terpesona dan tertarik kepada seseorang. Wajah Eryssa yang ayu dan gayanya yang lemah lembut itu benar-benar menarik perhatiannya. Eryssa bagaikan mengingatkan dia kepada seseorang. Hatinya yang selama ini kesunyian, kembali terasa bergetaran. Selama ini, apabila dia berfoya-foya dengan ramai jelitawan, belum ada seorang pun yang berjaya mengembalikan perasaan itu di jiwanya. Pasti ada sesuatu mengenai Eryssa yang buat Tan Sri Haiqal seperti terpukau.


 

Untuk baca bab-bab seterusnya, bolehlah ke portal Ilham Karangraf atau klik SINI

Cinta Dorayaki Bab 20

ringDURRAH tercengang sambil memandang wajah abangnya. “Jangan main-mainlah, abang long. Tak lucu tau!”

“Abang long tak main-main. Najwan tu kawan baik abang long. Hati budi dia abang long dah kenal. Sejuk hati abang long kalau angah terima dia,” pujuk Dani.

“Abang long… tolonglah. Angah tak mahu fikir perkara ni lagi.” Sambil bercakap, matanya memandang ke arah lelaki yang sedang mengisi lauk ke dalam pinggan.

Najwan, kawan baik Dani semenjak di universiti itu tak kurang segak di mata para gadis. Tapi hati Durrah masih tertutup buat orang lain kecuali… si lanun durjana yang tak sepatutnya ada di situ. Darah panas terus menyimbah ke mukanya. Alamak!

Najwan menghampiri mereka dan Dani pula yang bangun memilih makanan. “Durrah tak makan?” tegur Najwan. Seulas senyuman terukir di bibirnya. Ikhlas.

“Saya dah pesan kuetiaw ladna.” Kulit wajah Durrah dah merah menyala. Bukan kerana malu kepada Najwan sebaliknya kulitnya terasa panas dengan renungan tajam Zharif. Bagaimana dia boleh ada di situ? Bukankah Zharif tak berapa menyukai masakan Melayu? Dia datang bersama Adele pula tu.
Dani pula hilang entah ke mana. Pilih makanan macam pilih baju raya. Dia mula tercari-cari.

“Cari Dani?” tanya Najwan. Dia dah mula menyuap nasi ke dalam mulut. “Dani kata dia ada hal. Dia balik ke pejabat dulu.”

Durrah hampir tersedak. Tatkala itu dia sedang menyedut teh O ais limau. Tak guna punya abang long! cemuh Durrah geram. Nampak sangat abangnya sengaja nak mengenakan dia dengan janji temu buta itu. Siaplah dia nanti Durrah kerjakan.

“Durrah mesti tak selesa Dani buat macam ni.” Najwan memulakan perbualan. “Saya dah larang. Tapi dia bertegas nak juga saya kenal Durrah.”

Durrah terus menyedut minumannya dengan rakus. Tubuhnya terasa panas. Panas kerana marah dan panas kerana takut. Takut? Adakah dia takut dengan Zharif? Untuk apa? Dahi Durrah berkerut. Dari ekor matanya, dia masih dapat melihat Zharif yang masih memandang ke arah mereka. Adele dah hilang entah ke mana.

Makanan yang dipesan oleh Durrah tiba. Perlahan-lahan dia makan kerana masih panas berasap. Makin lamalah dia akan berhadapan dengan Najwan yang dah mula berborak kosong dan Zharif yang terus merenung tajam ke arahnya.

Tak tentu arah juga Durrah dibuatnya apabila terpaksa melayan Najwan dan berpura-pura seronok kerana tak mahu menunjukkan cuak di hadapan Zharif. Kalau Durrah nampak cuak, tentu Zharif akan ingat dia takut dengan lelaki itu. Lagipun buat apa Durrah nak berasa cuak? Bukannya dia melakukan apa-apa kesalahan pun.

Eh ya ke? Memang tak lakukan apa-apa kesalahan tapi rasa serba salah, kan? Bila Zharif ajak berjumpa, dia tolak. Tapi bila ada lelaki lain ajak, dia terima. Eh… ini tak boleh dikira sebab Dani yang aturkan. Hati dan perasaannya terus berdebat mencari salah. Makin tak tentu arah dia dibuatnya. Makan rasa macam tak kenyang. Minum rasa macam tak puas.
WALAUPUN dah ditegah, Najwan berdegil mahu menghantar Durrah ke pejabat. Terpaksa juga Durrah mengalah.

“Boleh saya jumpa awak lagi?” Najwan keluar dari kereta. Suaranya agak kuat.

Durrah berpaling ke belakang. Tika itu juga kereta Zharif berhenti di hadapan kereta Najwan. Wajah Durrah terus pucat lesi.

“Boleh?” Najwan mengulang soalannya. Tika itu Zharif dah keluar dari kereta dan menyerahkan kunci kepada pembantunya. “Kalau awak sudi, esok saya nak ajak awak keluar makan lagi.” Najwan benar-benar serius.

Durrah pula dah kelu. Zharif berlalu di sisinya. Sedikit pun lelaki itu tak menjeling ke arahnya. Wajah Zharif serius. Nampak seperti sedang menahan marah. “Nanti saya fikirkan. Terima kasih sebab belanja saya tadi.” Durrah segera berlalu. Entah apa nasibnya di pejabat nanti? Dahlah masuk lewat. 2.30 petang baru pulang dari makan tengah hari. Usah bandingkan dirinya dengan Zharif. Dia bos. Boleh keluar masuk pejabat sesuka hati dia.

SEWAKTU Durrah menatap skrin, ikon LAN Chat dah bernyala. Berat hatinya nak membuka. Seperti yang diduga, Zharif yang menghantar mesej.

Zharif : DATANG SINI SEKARANG!
Durrah : I nak review modul. Petang ni nak present.
Zharif : You nak I datang dan tarik you ke sini?

Durrah degilkan hati. Tapi apabila Zharif dah terpacak di ambang pintu biliknya, kelam-kabut Durrah bangun dan mengatur langkah. Zharif menutup pintu biliknya dengan agak kuat. Durrah terdengar dia mengunci pintu bilik. Seram sejuk tubuhnya ketika itu. Kalau ada apa-apa yang tak baik berlaku antara mereka, siapakah yang nak dipersalahkan?

Perlahan-lahan Durrah berpaling memandang Zharif yang dah bersandar pada daun pintu yang tertutup rapat. Wajah lelaki yang serius itu dipandang seketika sebelum dia melarikan pandangan ke arah bidai yang menutupi tingkap.

“Ada apa Encik Zharif panggil I?” Soalan standard yang selalu Durrah tanyakan. Tapi nadanya tak keras macam biasa. Sebaliknya dah macam si Smurffete takut nak berdepan dengan si Azriel, kucing Gargamel yang ganas itu.

“I dah lama bersabar dengan you. Tak tahu sampai bila kesabaran I ni mampu bertahan.” Zharif mengetap giginya ketat-ketat sehingga kulit mukanya tegang.

Durrah berundur ke belakang hingga terlanggar meja. Dah tak ada tempat untuk lari bersembunyi kecuali di bawah meja. “I tak faham apa masalah you, Encik Zharif? Rasanya I tak pernah buat silap atau mengabaikan tugas.” Dia berpeluk tubuh. Berpura-pura selamba dan buat-buat tak bersalah.

“Jangan buat-buat tak faham. You faham maksud I, kan?” Zharif mengatur langkah perlahan menghampiri Durrah.

Durrah berundur tapi dia dah terkepung dengan meja. Degup jantungnya dah mula menjalani ujian kadar kelajuan. Semakin Zharif mendekati, semakin tinggi kelajuan yang dicatatkan. Zharif berhenti melangkah tak kurang sedepa dari Durrah. Dekat sangat.

Seingat Durrah, tak pernah mereka berada sebegini dekat kecuali semasa kaki Durrah terseliuh dulu, sewaktu di dalam kereta dan pagi tadi ketika insiden Dr Maria menjerit di dalam tandas. Tapi situasi dulu tak sama dengan sekarang. Dia memalingkan wajah ke sisi. “Walau apa pun yang you fikirkan, berhentilah. Tak ada guna. Semua ni tak ada kesudahannya.”

“I nak sudahkan semua ni. Tapi you yang tak mahu. Tak mahu langsung beri I peluang.”

“Dahlah, Encik Zharif. Kita tamatkan di sini. I tak mahu selamanya bermain perasaan sendiri. Melukakan hati I sendiri.”

“I tak pernah suruh you bermain dengan perasaan sendiri. Menyeksa diri sendiri dengan sesuatu yang tak pernah wujud. You hidup dalam bayangan you sendiri. Pernah tak you fikir yang selama ini you tak pernah tahu perkara sebenar tentang I.”

Durrah memberanikan diri memandang wajah Zharif. “I dah tau.” Tapi sejurus kemudian, dia kembali membuang pandang ke tempat lain.
“You tahu apa? Boleh beritahu I?” Sinis suara Zharif.

“You keturunan kucing Parsi. I keturunan kucing kampung. Kita tak layak bersama.”

Zharif tersenyum. Sinis. “I bukan kucing. Begitu juga dengan you. Kalau you fikir darjat, pangkat dan pengaruh boleh pisahkan I daripada you, you silap besar! Malah sesiapa yang fikir I akan lupakan you dan rancangan I, mereka memang bodoh!” Suara Zharif tinggi.

Kecut perut Durrah dibuatnya. Zharif marah pada siapa sebenarnya ni?

“I tahu you suruh Ginny intip pergerakan I. Sebab tu I sengaja umpan Ginny ke majlis tu. I nak you tahu siapa I, siapa keluarga I dan siapa kenalan-kenalan I. Tak pernah pun ada niat di hati I nak sembunyikan perkara tu daripada you. Dah banyak kali I minta nak jumpa you. Tapi you sengaja mengelak. You tak pernah beri I peluang nak jelaskan apa-apa.”

Dada Durrah terasa sesak. Sendi lututnya berasa lemah. Sebelum dia jatuh terduduk, lebih baik dia menarik kerusi dan duduk. Lagipun dengan cara itu, dia dapat menambahkan jarak di antara dia dengan Zharif. Dapat mengurangkan debar di dada.

“Kenapa you buat semua ni?” Perlahan suara Durrah. Dia hanya mahukan jawapan yang ikhlas daripada Zharif. Hanya satu pengakuan. Itu saja.
“Sebab… I cintakan you!” Zharif dah bertinggung di hadapannya, menjadikan kedudukan mata mereka bertentangan.

Buk! Aduh! Durrah mengusap dadanya. Ujian jantung dah sampai ke penamat. Kelajuannya perlahan-lahan normal sebelum menjadi stabil. Hebat sungguh Durrah. Bagai pakar jantung pula.

“Encik Zharif, kita baru berkenalan. Tak sampai setahun lagi. Bagaimana dalam waktu yang pantas…” Durrah ragu-ragu seketika sebelum menyambung, “perasaan yang sama boleh wujud?” Tak ada guna dia menyimpan perasaan itu lagi. Zharif dah mengaku. Mengapa tak dia? Mungkin dah tertulis buat mereka.

Zharif tersenyum. Dia menarik kerusi dan duduk di hadapan Durrah. “Seperti ada satu percikan bunga api yang indah setiap kali I menatap wajah you. Sikap you yang tak mementingkan diri sendiri, sanggup susah payah bergaduh dengan I semata-mata nak selamatkan hak orang lain. Semua tu buat I berfikir. Ada sesuatu mengenai you yang patut I perhatikan. I sendiri terkejut sebab terlalu cepat sukakan you. Dulu dengan bekas isteri I, tak pernah pun I rasa macam ni.”

Bekas isteri? Sah! Yakin! Dia masih bujang empat! Hahaha… Tak sesuai! Hati Durrah bercakap sesama sendiri. Sayang awak, sayang!

“Cik Dorayaki, you sudi kahwin dengan I?”

“You kahwinlah dengan kuih dorayaki tu. I tak kisah.” Selamba Durrah menjawab padahal ujian jantung dah kembali bermula.
Zharif tersenyum. “Cik Durratul Nawwarah, I nak ajak you nikah dengan I. Boleh?”

Kulit wajah Durrah dah memerah. Gila selamba dia melamar.

pizap.com13723216968721

Cinta Dorayaki Bab 7

pizap.com10.87576651899144051372202744992

Durrah duduk sendirian di atas tangga kecemasan. Dah beberapa jam perkara itu berlaku. Entah apa yang terjadi di dalam sana. Kepalanya dah kusut memikirkan perubahan besar yang terjadi di pejabat itu. Tadi selepas dia keluar dari bilik mesyuarat, dia terserempak dengan Hobbit Hitam. Dengan selamba si pendek itu memberi amaran kepadanya.

“Durrah, kalau kumpulan you tak perform hari Jumaat ni, bersedialah untuk cari kerja lain. Bukan you aje… semua ahli pasukan you dipersilakan berambus!”

Panas betul hatinya mendengar ugutan Mr. Abraham itu. Rasa hendak melawan. Tapi hatinya dah cukup sakit. Lantas dia menyembunyikan diri di situ; cuba sedaya upaya untuk tak menangis lagi.

Tiba-tiba pintu kecemasan ditolak dari luar. Cepat-cepat Durrah mengelap sisa air mata di pipinya yang mulus. Entah siapa pula yang datang mengganggu? Kakak tukang sapu kot, fikir Durrah tanpa mahu menoleh ke belakang.

“Hah… menangis lagilah tu. Nanti muka bengkak lagi.” Akid duduk di sisi Durrah. “Rugi kau tak tengok tadi. Sinetron paling hebat abad ini.”

“Apa maksud kau?” Durrah mengeluarkan tisu dari poket kotnya dan menekup wajahnya separuh.

“Suami Dr. Maria dan Imas datang tadi. Terus jadi perbalahan antara suami dengan suami sebab isteri-isteri mereka bercakaran. Sampaikan Encik Zharif terpaksa panggil pengawal keselamatan untuk leraikan perang mulut tu.”

“Lah…” Mulut Durrah melopong besar. “Sampai macam tu sekali?”

“Itulah… rugi kau tak tengok. Memang macam tengok filem Hindustan.” Akid menghulurkan sekeping coklat kepada Durrah.

Durrah menyambutnya dan mematahkan tiga baris coklat badam dan hazel itu. Bagus betul si Akid  ni. Lagak macam mafia tapi pandai memujuk dengan coklat. Mesti bahagia hati isteri dia, fikir Durrah.

“Tapi… kesian Imas. Dia kena buang 24 jam.”

“Apa?” Suara Durrah kuat sehingga bergema suaranya.

“Ginny dapat surat amaran sebab bergaduh dengan Mr. Abraham.”

“Pulak dah. Si Kebayan tu? Takkan lepas kot?”

“Kebayan?” Berkerut dahi Akid memandang Durrah.

“Eh… Dr. Maria. Dia kena apa pula?” Sekali lagi Durrah tersasul cakap, memanggil Dr Maria dengan nama gelarannya iaitu Kebayan. Kalau selalu begini, habis pecah tembelangnya.

“Tak ada apa-apa.” Suara Akid kedengaran jengkel.

“Hisy… ni yang buat aku marah ni!” Suara Durrah meninggi.

Chilllah. Jangan campur hal orang lain. Kita selesaikan masalah kita dulu ni. Biarlah orang lain nak bercakaran ke bertumbuk ke… kita buat kerja kita.”

Chill? Macam bagus aje! Bagi aku sebiji peti ais baru aku boleh chill!” Geram Durrah beralih kepada Akid  pula. Orang tengah marah, disuruhnya bertenang. Tapi itulah cara yang betul, kan? Durrah menempelak dirinya sendiri.

“Dahlah. Jom masuk. Encik Zharif tanya kau tadi.”

“Alamak… dia tu… kecoh aje.” Lambat-lambat Durrah bangun mengekori Akid masuk ke pejabat dengan langkah yang berat.

Sebaik saja tiba di mejanya, Durrah terus mencapai headphone dan meletakkan di kepala. Sengaja dia menguatkan suara radio. Tak mahu dia mendengar cakap-cakap teman sepejabat mengenai insiden tadi. Buat menyakitkan hati saja.

Tiba-tiba CPU di atas mejanya diketuk kuat. Tersentak Durrah. Dia segera mendongak. Zharif dah terpacak di sisi kubikelnya.

“Masuk bilik I kejap!” Zharif terus berlalu tanpa menunggu Durrah.

Terkebil-kebil mata Durrah memandang lelaki itu yang dah pun masuk ke bilik pejabatnya.

Azri mencuit bahu Durrah. “Kenapa? Kenapa?”

“Manalah aku tau. Tetiba aje dia panggil. Macam lanun pula tu. Main ketuk CPU aku aje. Ingat harta dia ke? Kalau rosak, aku yang dipersalahkan,” bebel Durrah.

“Bukan salah dia. Kau yang pekak. Dia dah panggil banyak kali dari pejabat dia tadi. Bila tengok kau pekak badak, tu dia datang.”

“Yang kau tak panggil aku tu, kenapa? Sengaja aje, kan?” Durrah dah bangun. Dia menjeling tajam kepada Azri yang dah tergelak-gelak menyembunyikan rasa bersalah.

“Aku halau kau dari kumpulan aku, baru kau tau!” Durrah sempat mengugut sebelum menuju ke arah bilik Zharif Lanun. Lanun? Memang sesuai gelaran itu jika dipadankan dengan Zharif. Durrah tersenyum. Tapi keceriaannya seketika cuma. Bahang mula terasa apabila dia melangkahkan kaki ke dalam bilik Zharif.

“Duduklah. Berdiri macam tiang bendera tu nak buat apa?”

Aduh… sinis betul lelaki ini bercakap. Durrah dah buat muka tak puas hati.

“Hah… buat muka!”

Tersentak dia apabila disergah begitu. La… mamat ni perasan ke, getus Durrah semakin tak puas hati. Wajahnya dah kelat. Dia menarik kerusi dan terus duduk.

“Hmm… kalau rasa nak sembunyi bawah meja, meja I ni tak muat. Jadi you sembunyilah bawah kerusi. Itu pun kalau muat.”

Ya Allah… apa ke hal mamat ni? Durrah dah mengomel dalam hati. Adakah semata-mata kerana hal itu maka dia memanggil Durrah masuk mengadap? Sengaja hendak membalas dendam? Tapi dendam apa?

“Ada apa Encik Zharif panggil I ni?” Dengan selamba Durrah menyoal. Dia mahu hentikan kata-kata sinis lelaki itu.

Zharif merenung Durrah seketika sebelum mula bersuara. Gila gabra juga Durrah dibuatnya apabila ditenung tajam begitu. Bisa menggugat iman.

“Tadi I dah bincang dengan Kokila berkenaan kumpulan dia. Masalah dia sebab GD dia buat kerja lembab. Masalah kumpulan you apa pula?”

“Masalah kumpulan I?” Durrah mengulangi soalan Zharif. “Masalahnya dulu I bertugas di Unit HR. Tapi tiba-tiba Datuk suruh I jadi editor kemudian SE dan sekali gus jadi ketua kumpulan. Sama macam Azri. Daripada Unit PR ke jawatan penterjemah. Dia tak apalah sebab memang ada pengalaman dalam bidang tu. Tapi I? Apa yang I tahu mengenai projek ni? Tak ada apa-apa. Jadi I kena belajar dari A hingga Z dalam masa yang amat singkat. Mestilah modul kena tolak sebab kebetulan SE I semua budak baru, termasuk I. Walaupun I dah lama kat sini, tapi bidang kerja I jauh berbeza. Tiba-tiba saja tukar bidang tugas sesuka hati.”

Begitu panjang lebar Durrah menjelaskan masalahnya. Kalaulah dia turut sama bercakap dalam mesyuarat tadi, tentu dia juga mendapat surat amaran daripada Hobbit Hitam.

“Jadi you nak salahkan Datuk sebab tukarkan you ke projek ni ke?” Zharif seolah-olah tak dapat nak menerima alasan yang diberikan oleh Durrah. Padanya semua itu sekadar alasan kosong yang tak kukuh yang tak boleh dijadikan sebab.

Berkerut dahi Durrah memandang Zharif. Begitu panjang lebar dia memberikan penjelasan, hanya itu saja kesimpulan yang dapat lelaki ini buat? Sungguh tak bisa diterima akal. “Mungkin ya, mungkin tak.” Dengan berani Durrah menjawab.

“Maksud you?” Wajah Zharif masih lagi serius.

“I tak kisah kalau Datuk nak tukar I ke mana-mana sekali pun. Tapi berilah I peluang berenang dulu, baru menyelam. Bukan itu aje. I kena ugut dengan Hobbit Hitam lagi. Kononnya kalau kumpulan I tak perform hari Jumaat ni, kami semua kena berambus. Budaya kerja apa ni?”

“Apa dia? Hobbit Hitam?” Zharif dah mendekatkan tubuhnya pada meja.

Dengan pantas Durrah menekup mulutnya. Alamak! Dia buat sekali lagi. Rasa nak cili  mulutnya yang selalu terlepas cakap.

“Er… apa? I tak faham.” Durrah pura-pura buat wajah blur.

Zharif memandang Durrah dengan curiga. Durrah membalas dengan wajah selamba. Tapi dalam hatinya, dah bergelora menahan cuak dan gabra.

“You pernah terlibat dengan pengurusan projek?” Zharif kembali bersandar pada kerusinya.

Durrah menggeleng.

“Apa yang kita buat sekarang ialah projek. Kita mahu menghasilkan satu produk baru. Belum ada syarikat lain yang berjaya melakukannya. Jadi kalau kita berjaya, kitalah perintis. Untuk menjayakan projek ini, kita perlukan tenaga kerja yang cekap dan tahan tekanan. Kalau ada sesiapa yang rasa dia tak boleh tahan, lebih baik berhenti sebelum kena buang.

Jadi apa yang Datuk buat sekarang, tak salah. Sebab dia dah laburkan jutaan ringgit semata-mata nak lihat projek ni berjaya. Tapi bila pengarah projek terdahulu gagal hasilkan produk seperti yang dikehendaki, Datuk terpaksa ambil langkah drastik. Datuk ahli perniagaan. Dia pentingkan pulangan pelaburannya. Kita ni sekadar pekerja yang makan gaji.”

“Tapi Encik Zharif, itu tak bermakna dia boleh layan kami macam kuli. Kami bukan tak buat kerja. Kami dah buat, tapi masih gagal memenuhi cita rasa Datuk. Masalahnya, kami pun tak tahu apa yang Datuk mahukan. Dia tak pernah beritahu pada kami.” Durrah dah mula merasakan bahang. Kedinginan pendingin hawa tak mampu menyejukkan tubuhnya.

“Datuk ada beritahu pada Mr. Akshay Kumar. Tapi malangnya dia tak beritahu pada kamu semua. Itu memang salah dia dan dia berhak diberhentikan. Datuk syak dia nak sabotaj syarikat.”

“Apa?” Durrah kurang percaya kata-kata Zharif. Dia kenal Mr. Akshay dulu daripada lelaki ini. “Walaupun I tak lama bekerjasama dengan Mr. Akshay, tapi I tak rasa dia begitu orangnya.”

“You tak kenal dia, Durrah. Sebelum ni you di tempat lain. Apa yang you tahu, cuma cakap-cakap daripada Imas dan Ginny yang selama ni memang orang kuat Mr. Akshay.”

“Berani you cakap begitu tentang kawan I?” Durrah dah mula naik angin.

“I bukan nak tuduh kawan you bukan-bukan. I ada bukti. Kalau you nak selamat dan nak simpan kerjaya you di sini, baik you jangan campur dengan orang-orang yang berfikiran negatif macam tu.”

Durrah terus berdiri kerana tak sanggup mendengar kata-kata Zharif yang menghendaki dia mengkhianati rakan-rakannya sendiri.

“I minta maaf, Encik Zharif. I tak setuju dengan kata-kata you. I tahu siapa kawan I. Tak perlulah you nak nasihatkan I mengenai hal ni. Hal kerja I, you jangan bimbang. I akan lakukan sedaya upaya sehingga Datuk terima modul kami. Dan dengan siapa I nak berkawan, itu hak peribadi I!” Durrah terus keluar dengan hati yang berbuku sebal.

pizap.com13723216968721