Popular vs sastera

Saya lebih suka menggunakan istilah ‘popular’ daripada ‘picisan’. Definisi yang diberikan oleh Kamus Dewan Edisi Keempat memberikan maksud ‘picisan’ sebagai tidak berharga, rendah mutunya. Tidak mahulah saya meletakkan karya saya dalam kategori ‘picisan’. Lebih baik popular sahaja. Definisi ‘popular’ menurut sumber yang sama pula ialah digemari atau disukai ramai. Lebih baik ‘popular’ daripada ‘picisan’, tidak begitu?

Selama ini saya hanya pekakkan telinga mendengar perdebatan ini dipanjangkan. Tetapi kali ini saya fikir, saya harus berkata sesuatu mengenainya.

Hanya disebabkan seseorang penulis mengilhamkan novel cinta dan kasih sayang dalam bentuk yang santai yang tidak melampau, karyanya boleh dicap picisan. Agak tidak adil. Lewat kebelakangan ini sudah banyak novel yang bertemakan cinta dan kasih sayang yang amat menjaga kesantunan bahasa, baik dari segi tatabahasa dan ejaan. Walaupun tidak menggunakan bahasa berbunga-bunga yang penuh unsur-unsur sastera seperti metafora, personifikasi, hiperbola dan pelbagai lagi, gaya penceritaan disampaikan melalui gaya tersendiri penulis yang kadang kalanya lebih puitis, walaupun santai.

Apa definisi sastera agaknya? Menurut kamus, sastera bermaksud 1. bahasa yang digunakan dalam kitab-kitab (bukan bahasa basahan); 2. kesusasteraan–hasil seni (karya tulisan) dalam bentuk prosa atau puisi yang mempunyai ciri-ciri keistimewaan yang tertentu. Ada panjang lagi maksudnya. Rujuk Kamus Dewan jika mahukan penjelasan yang lebih.

Hmm..melihat kepada definisi tersebut, boleh dikatakan karya sastera tidak menggunakan bahasa basahan, sebaliknya menggunakan bahasa dalam kitab. Kitab apa ya? Ahh…makanya mungkin disebabkan kriteria ini, karya saya ‘terpicis’….ops…’popular’ lebih sesuai. Kasihan….

Walau apa pun tanggapan pengkritik mengenai sesuatu karya itu, saya akan terus menulis apa yang saya tulis tanpa perlu pening kepala memikirkan pada tahap mana ia patut duduk. Yang penting, mesej yang hendak saya sampaikan, jelas. Tema cinta dan kasih sayang tetap menjadi persoalan pokok dalam kehidupan manusia. Hanya cara penyampaiannya sahaja yang berbeza mengikut gaya dan cita rasa sang penulis.

Nampaknya misi kita sama, cuma jalan kita berbeza. Sama-samalah berusaha menghasilkan yang terbaik buat pembaca yang setia.

**Artikel ini disiarkan semula sebagai respons kepada isu novel picisan yang kembali dibangkitkan. Artikel asal terletak di blog Novel Izza@Hani

Author: Izza Hani Ismail

Writer, Editor, Translator

Leave a comment